
PUTRAJAYA, 9 Julai – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan empat individu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah dan penyelewengan dalam pemindahan tiga ekor gajah, Dara, Amoi dan Kelat (DAK) ke Zoo Tennoji, Osaka, Jepun.
- Tangkapan melibatkan pegawai PERHILITAN, bekas pengarah bahagian taman zoologi dan dua pemilik syarikat.
- SPRM buka Kertas Penyiasatan Tatakelola; siasat kos pemindahan, keberadaan gajah, sijil veterinar dan spesifikasi kandang.
- Tiada kaitan dana RM53 juta dengan bekas menteri; namun wujud keraguan terhadap transaksi empat suspek.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abdul Halim Aman berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada seorang pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), seorang pesara jabatan itu yang juga bekas Pengarah Bahagian Taman Zoologi, serta dua pemilik syarikat.
Beliau berkata, SPRM turut membuka Kertas Penyiasatan Tatakelola bagi meneliti beberapa isu berkaitan proses pemindahan gajah berkenaan.
“Antara yang disiasat ialah pihak yang menanggung kos pemindahan tiga gajah itu ke Jepun, keberadaan gajah di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, status persijilan veterinar serta spesifikasi kandang di Zoo Tennoji,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Dalam pada itu katanya, SPRM tidak menemukan sebarang kaitan dana perpindahan DAK yang dikatakan bernilai RM53 juta ringgit dengan bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Malah beliau berkata, siasatan juga mendapati tidak wujud aliran wang ataupun aliran tunai pembayaran kepada menteri itu atau terhadap mana-mana syarikat yang mencurigakan.
Bagaimanapun, Datuk Seri Abdul Halim berkata, terdapat keraguan transaksi terhadap empat suspek yang disiasat.
Setakat ini, seramai 19 saksi telah dirakam keterangan, manakala empat telefon bimbit disita bagi membantu siasatan.