
KUALA LUMPUR, 8 Julai – Konflik geopolitik, perang perdagangan serta perubahan dasar tarif di seluruh dunia, mendorong sektor perniagaan berdepan cabaran besar dalam menyesuaikan operasi serta sistem perniagaan dengan pantas, sekali gus meningkatkan permintaan kepada teknologi berasaskan kecerdasan buatan (AI).
- Perubahan harian melibatkan percukaian, kos penghantaran dan faktor lain memaksa perniagaan kemas kini sistem serta operasi segera.
- Sistem perisian perusahaan tradisional memakan masa dan kos tinggi untuk melaksanakan proses kemas kini kritikal.
- Pendekatan berasaskan AI mempercepat proses, mengurangkan kos dan membantu perniagaan menyesuaikan diri dengan ketidaktentuan ekonomi global.
Ketua Pegawai Eksekutif Rimini Street, Seth Ravin berpendapat, selain menjejaskan rantaian bekalan dan kos penghantaran, konflik geopolitik turut memberi kesan terhadap sektor pertanian serta ekonomi global.
“Hampir setiap hari ada perubahan melibatkan percukaian, kos penghantaran dan pelbagai faktor lain yang memberi kesan kepada operasi perniagaan sehingga pelanggan memerlukan bantuan untuk menyesuaikan sistem dan perubahan yang berlaku dalam persekitaran perniagaan global,”katanya pada sidang media Transformasi AI di ibu negara.
Dalam masa sama, perubahan tarif ke atas produk tertentu juga memerlukan sektor perniagaan mengemas kini sistem percukaian, penghantaran serta operasi perniagaan dengan segera.
“Proses berkenaan sukar dilaksana menerusi sistem perisian perusahaan tradisional (ERP) yang mengambil masa dan melibatkan kos,”jelasnya.
Beliau turut mengakui pendekatan AI yang dibangunkan itu berupaya mempercepat proses, mengurangkan kos dan membantu sektor perniagaan menyesuaikan diri dengan ketidaktentuan ekonomi global yang semakin kompleks.