Kemaraan ke suku akhir Piala Dunia detik bersejarah – Presiden Switzerland

Foto REUTERS

BERN, 8 Julai – Presiden Switzerland, Guy Parmelin, menyifatkan kejayaan negaranya mara ke suku akhir bola sepak Piala Dunia buat kali pertama sejak 1954 sebagai satu pencapaian “bersejarah”.

RINGKASAN BERITA AI
  • Switzerland menewaskan Colombia melalui penalti selepas 0-0, layak ke suku akhir bertemu juara bertahan, Argentina, di Kansas City.
  • Menteri Sukan dan akhbar tempatan memuji pasukan; Tribune de Geneve panggilnya "Magis", Le Temps kata skuad bersedia melangkah lebih jauh.
  • Pemain seperti Granit Xhaka dan Ricardo Rodriguez dipuji atas semangat juang, sementara penyokong meraikan kemenangan di Nyon.

Switzerland menewaskan Colombia 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat tanpa jaringan di Vancouver, sekali gus mengesahkan tempat ke suku akhir menentang juara bertahan, Argentina, pada Sabtu di Kansas City.

“Tahniah kepada seluruh pasukan dan barisan kejurulatihan atas keputusan bersejarah ini!” kata Parmelin menerusi platform X dalam satu rakaman video dari Mexico City sambil memakai selendang Switzerland dan topi merah bertulis ‘Switzerland: Great since 1291’.

“Saya sangat menikmati perlawanan itu; ia cukup mendebarkan. Kini ini adalah langkah pertama menuju ke perlawanan akhir.

“Semoga berjaya dalam dua lagi perlawanan sebelum aksi akhir,” katanya.

Menteri Sukan Switzerland, Martin Pfister, turut menzahirkan ucapan tahniah menerusi platform X.

“Luar biasa! Pasukan ini memberi inspirasi kepada seluruh negara dan menjadi contoh kepada generasi atlet akan datang. Syabas!,” katanya.

Akhbar-akhbar tempatan turut meraikan kejayaan itu, dengan Tribune de Geneve menyifatkannya sebagai “Magis”.

Sementara itu, Le Temps melaporkan bahawa “pasukan Switzerland ini bersedia untuk melangkah lebih jauh”, sambil menambah bahawa pencapaian tersebut akan mengukuhkan perpaduan dan keyakinan dalam kalangan pemain yang terus menunjukkan peningkatan.

Neue Zurcher Zeitung pula menyatakan skuad kebangsaan kini sedang mengharungi Piala Dunia terbaik dalam sejarah mereka.

“Generasi pemain yang diterajui Granit Xhaka dan Ricardo Rodriguez telah mempamerkan semangat juang yang tidak pernah ditunjukkan oleh mana-mana generasi sebelum ini. ‘Ia sungguh hebat!,” katanya.

Akhbar Blick pula menyifatkan pasukan itu berjaya mengatasi pelbagai rintangan dan kritikan sebelum muncul sebagai sebuah pasukan yang benar-benar bersatu.

“Itulah yang membezakan sebuah pasukan hebat.

“Generasi ini akhirnya tidak lagi dinilai berdasarkan potensi yang gagal dicapai, sebaliknya atas kejayaan yang benar-benar mereka lakarkan, kejayaan yang selama beberapa dekad dianggap mustahil buat Switzerland yang kecil,” menurut akhbar berkenaan.

Penyokong Switzerland turut meraikan kemenangan itu di Nyon, barat Switzerland, lokasi ibu pejabat Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA).

Kali terakhir Switzerland mara ke suku akhir Piala Dunia ialah ketika menjadi tuan rumah kejohanan pada 1954, yang turut menyaksikan satu rekod bersejarah tercipta.

Switzerland tewas 5-7 kepada jirannya, Austria, dalam perlawanan yang kekal sebagai aksi dengan jumlah jaringan terbanyak dalam sejarah Piala Dunia.

Perlawanan itu dikenali dalam bahasa Jerman sebagai Hitzeschlacht von Lausanne atau “Pertempuran Panas di Lausanne” kerana suhu ketika itu mencecah 40 darjah Celsius. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.