
KUALA LUMPUR, 8 Julai – Kerajaan MADANI terus bekerjasama rapat dengan Bank Negara Malaysia (BNM) serta industri perbankan bagi memastikan sistem kewangan negara kekal stabil, terangkum dan terus berpihak kepada rakyat.
- Pengenalan Kad Kredit Asas: pilihan kredit ringkas, kadar pembiayaan maksimum 14% setahun, had kredit terkawal dan pemindahan baki tanpa caj.
- Pengecualian caj RM1 pengeluaran tunai di ATM sejak 1 Julai menjadikan perkhidmatan kewangan asas lebih mudah diakses.
- Bantuan bersasar kepada peminjam dan PMKS: penjadualan semula, pengurangan ansuran, lanjutan tempoh, serta kemudahan jaminan dan nasihat kewangan.
Kenyataan Kementerian Kewangan menyebut beberapa inisiatif oleh industri perbankan telah membantu pelanggan individu dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mendepani cabaran kos sara hidup serta kesan ketidaktentuan ekonomi global juga konflik di Asia Barat.
”Pelbagai inisiatif disambut baik seiring saranan kerajaan agar sektor kewangan terus mengamalkan nilai ihsan dan ekonomi manusiawi dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat serta perniagaan kecil.
”Inisiatif merangkumi pengenalan Kad Kredit Asas, pemansuhan caj RM1 bagi pengeluaran wang tunai di ATM bank, serta bantuan bersasar kepada peminjam dan PMKS yang terkesan,”jelas kenyataan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan turut menghargai komitmen industri perbankan dalam memperluas akses kewangan yang lebih mudah, berpatutan dan bertanggungjawab.
“Ketika rakyat dan PMKS berdepan tekanan kos serta aliran tunai, institusi kewangan berperanan penting membantu pelanggan mereka dengan penyelesaian yang berhemat, tangkas dan berperikemanusiaan.
“Saya merakamkan penghargaan kepada industri perbankan negara kerana menyahut saranan kerajaan untuk mengorak langkah ke arah sistem kewangan yang lebih manusiawi,” jelas beliau yang juga Menteri Kewangan.
Menurut Kementerian Kewangan, Kad Kredit Asas akan memberi pilihan kredit yang lebih ringkas, berpatutan dan terangkum kepada rakyat yang memerlukan kemudahan untuk mengurus aliran tunai harian secara bertanggungjawab.
“Produk mengutamakan kadar pembiayaan lebih rendah berbanding ganjaran gaya hidup dan pulangan tunai yang lazimnya ditawarkan oleh produk kad kredit semasa.
“Kadar pembiayaan bagi kad seumpama itu akan dihadkan pada 14 peratus setahun berbanding had tertinggi 18 peratus setahun, pada masa ini.
“Had kredit juga ditetapkan pada paras lebih terkawal bagi menggalakkan penggunaan kredit secara berhemat, manakala pemegang kad kredit sedia ada boleh melaksanakan pemindahan baki kad kredit tertunggak ke akaun Kad Kredit Asas tanpa caj atau bayaran,”menurut kenyataan itu lagi.
Kenyataan turut memaklumkan, sejak 1 Julai, 2026, pengecualian caj RM1 bagi pengeluaran wang tunai di mana-mana ATM yang dikendalikan oleh bank di Malaysia turut diperkenalkan.
Inisiatif melibatkan lebih 14,000 ATM di seluruh negara dan mencerminkan komitmen industri perbankan untuk memastikan perkhidmatan kewangan asas lebih mudah diakses oleh rakyat.
Selain itu, institusi perbankan turut menyediakan bantuan bersasar kepada peminjam yang terkesan akibat krisis bekalan global dan konflik di Asia Barat, berdasarkan keperluan dan kedudukan aliran tunai masing-masing.
Bantuan termasuk penangguhan sementara bayaran balik pinjaman, pengurangan ansuran dan tempoh pinjaman yang dilanjutkan.
“Sejak akhir April 2026, bank-bank telah menerima dan memproses permohonan penjadualan dan penstrukturan semula pinjaman melibatkan pembiayaan berjumlah lebih RM4.7 bilion bagi lebih 1,100 peminjam.
“Pembiayaan kepada sektor perusahaan kecil dan sedarhana (PKS) terus disalurkan dengan pertumbuhan pembiayaan tertunggak mencatatkan 5.3 peratus pada Mei 2026,”jelasnya.
Bagi Kemudahan Bantuan Kestabilan PKS bernilai RM5 bilion, kira-kira RM1 bilion pembiayaan telah diluluskan setakat 25 Jun, 2026 melibatkan 1,500 peminjam PKS.
Industri perbankan juga komited untuk memproses permohonan dalam tempoh tujuh hari bekerja dengan kira-kira RM4 bilion baki peruntukan masih tersedia untuk sokongan lanjut.
Justeru, Kementerian Kewangan menggalakkan peminjam dan PMKS yang terkesan untuk menghubungi bank masing-masing lebih awal bagi mendapatkan bantuan yang bersesuaian.
Sokongan tambahan turut disediakan melalui skim jaminan di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) dan Credit Guarantee Corporation (CGC), selain khidmat nasihat dan bantuan kewangan melalui Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).