
KUALA LUMPUR 8 Julai – RM1 juta diperuntukkan bagi Program Geran Pusat Bandar Kuala Lumpur 2026 untuk menyokong usaha pemeliharaan warisan dan menghidupkan semula kawasan pusat bandar.
- Setiap projek diluluskan menerima geran antara RM30,000 hingga RM100,000.
- Hannah Yeoh menggalakkan permohonan idea baharu serta kerjasama dengan ThinkCity dan pemegang taruh.
- Program membuka peluang kepada komuniti, artis, usahawan dan perniagaan membentuk masa depan Kuala Lumpur bersama.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah persekutuan) Hannah Yeoh berkata, setiap projek yang diluluskan akan menerima geran antara RM30,000 hingga RM100,000.
“Saya berharap semua pihak yang berminat khasnya yang punya idea-idea baru akan memohon. Semua kriteria nanti ThinkCity akan bagi dan saya berharap untuk bekerjasama mendapatkan idea-idea baru untuk menghidupkan infrastruktur Kuala Lumpur.
“Kerajaan dan pihak swasta sedang melabur untuk membina ataupun menaik taraf banyak bangunan. Tetapi aktiviti itu yang kita nak dengar daripada pemegang taruh kita.”
“Paling penting adalah untuk DBKL terus membuat town hall (dialog awam) untuk mendengar pandangan dan idea daripada semua yang bekerja, hidup dan tinggal di Kuala Lumpur, ” katanya ketika ditemui selepas melancarkan program itu, hari ini.
Jelas Hannah, Program Geran Pusat Bandar Kuala Lumpur 2026 bukan sekadar menyediakan pembiayaan, sebaliknya membuka peluang kepada komuniti, artis, usahawan dan perniagaan membentuk masa depan ibu negara secara bersama.
Kriteria kelayakan penuh bagi permohonan dana itu akan diumumkan oleh ThinkCity selaku rakan strategik yang menyelaraskan program berkenaan tidak lama lagi.