84 pelajar UMT terima komputer riba, atasi jurang digital

Antara pelajar yang menerima sumbangan komputer riba. /Foto UMT

KUALA NERUS, 8 Julai – Seramai 84 pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) daripada keluarga B40 berbangsa India menerima bantuan komputer riba menerusi sumbangan Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA) dengan kerjasama Yayasan Didik Negara (YDN).

RINGKASAN BERITA AI
  • Program bertujuan memperkasakan pembangunan modal insan dan merapatkan jurang pendidikan dalam era pendigitalan.
  • Penjagaan mahasiswa adalah pelaburan strategik untuk melahirkan graduan berdaya saing dan berkemahiran tinggi.
  • Komputer riba membuka peluang akses ilmu, mengukuh kompetensi digital dan meningkatkan prestasi akademik tanpa halangan ekonomi.
  • Penerima melihat sumbangan sebagai kelegaan kewangan dan dorongan untuk belajar lebih gigih; sinergi pihak terlibat diharap diperluas.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Profesor Dr. Mohd Izani Mohd Zain, program yang diselaraskan oleh Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UMT itu bertujuan memperkasakan pembangunan modal insan dan merapatkan jurang pendidikan dalam era pendigitalan agar selari dengan keperluan semasa.

Jelas Profesor Dr. Mohd Izani, aspek penjagaan mahasiswa bukan sekadar agenda kebajikan semata-mata, sebaliknya ia merupakan pelaburan strategik yang berupaya melahirkan graduan berdaya saing dan berkemahiran tinggi.

“Sumbangan komputer riba ini bukan sekadar menyediakan sebuah peranti pembelajaran, malah membuka peluang kepada pelajar tahun satu dan dua ini untuk mengakses ilmu, memperkukuh kompetensi digital dan meningkatkan prestasi akademik tanpa dibatasi kekangan ekonomi.

“Kami percaya setiap mahasiswa berhak menikmati peluang pendidikan yang adil dan saksama. UMT amat menghargai keprihatinan MITRA dan YDN, serta akan terus memperluaskan kerjasama dengan pelbagai pihak bagi memastikan tiada pelajar tercicir daripada arus kecemerlangan,” katanya menerusi kenyataan.

Tambah beliau, pemilikan peranti tersebut kini telah beralih daripada satu kelebihan kepada keperluan asas bagi membolehkan mahasiswa mengikuti kuliah, menjalankan penyelidikan dan menyiapkan tugasan.

Sementara itu, salah seorang penerima bantuan, Dinesh Ravindra Singh, menyifatkan sumbangan berkenaan sebagai satu kelegaan besar buat keluarganya yang sebelum ini berdepan kekangan kewangan.

“Sebelum ini saya menggunakan komputer riba lama yang sering mengalami kerosakan sehingga menjejaskan urusan menyiapkan tugasan.

“Bantuan ini bukan sahaja meringankan beban keluarga, malah menjadi pembakar semangat untuk saya belajar dengan lebih gigih dan membuktikan bahawa kekangan kewangan bukan penghalang untuk berjaya,” katanya dalam kenyataan sama.

Terdahulu, majlis simbolik penyerahan bantuan telah disempurnakan oleh Profesor Dr. Mohd Izani.

Sinergi strategik antara UMT, MITRA dan YDN itu diharap dapat terus diperkasakan pada masa hadapan bagi meluaskan lagi manfaat kepada lebih ramai pelajar, sekali gus menyumbang kepada pembangunan negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.