
PUTRAJAYA, 8 Julai – Malaysia mencatatkan peningkatan 3.4 peratus ketibaan pelawat antarabangsa bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini, sekali gus menunjukkan sektor pelancongan negara terus berada pada landasan positif sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
- Sektor pelancongan terus positif walaupun ketidaktentuan geopolitik, dengan konflik Asia Barat menjejaskan pergerakan pelawat antarabangsa.
- Kedatangan disokong pasaran ASEAN, China, Jepun, Australia, Taiwan dan Hong Kong; peningkatan ketara dari Uzbekistan, Kazakhstan dan Turkmenistan.
- Perjanjian MoC dua tahun dengan Tripadvisor memperluas promosi digital, data pelawat dan pemasaran global, serta usaha tarik pelawat berkualiti dan buka laluan terus.
Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim berkata, peningkatan itu berjaya dicapai meskipun industri pelancongan global berdepan cabaran ketidaktentuan geopolitik, khususnya konflik di Asia Barat.
Menurut beliau, angka tersebut berpotensi mencatatkan pertumbuhan lebih tinggi sekiranya tidak dipengaruhi konflik berkenaan, yang turut memberi kesan kepada pergerakan pelawat antarabangsa.
“Alhamdulillah, dengan 3.4 peratus ini, ia banyak disokong oleh negara-negara seperti ASEAN, China, Jepun, Australia dan juga beberapa negara seperti Taiwan, Hong Kong dan sebagainya.
“Malah beberapa negara di Asia Tengah turut mencatatkan peningkatan yang ketara seperti Uzbekistan, Kazakhstan dan Turkmenistan, yang menunjukkan kedatangan pelancong yang tinggi meskipun dalam keadaan ketegangan geopolitik ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Memorandum Kolaborasi, MoC antara Tourism Malaysia dan Tripadvisor di sini, hari ini.
Mohd Amirul Rizal berkata, bagi mengekalkan momentum itu, Tourism Malaysia akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan pemain industri antarabangsa, termasuk Tripadvisor.
Kerjasama selama dua tahun sehingga penghujung 2027 itu, dijangka membantu memperluaskan promosi produk pelancongan Malaysia menerusi platform digital, data pelawat dan kempen pemasaran global.
Pada masa sama, Tourism Malaysia turut memberi tumpuan kepada usaha menarik pelawat berkualiti tinggi dari pasaran ASEAN dan Asia Timur, termasuk China, Jepun, Hong Kong, Taiwan dan Korea, selain memperkukuh kerjasama dengan syarikat penerbangan bagi membuka lebih banyak laluan terus ke Malaysia.