Perlombongan kripto haram: 6,913 mesin dirampas, 93 individu ditahan

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 8 Julai – Sebanyak 6,913 mesin perlombongan kripto dirampas dengan 93 individu ditahan menerusi siri serbuan di daerah Manjung, Perak bagi tempoh 2022 hingga 2025.

RINGKASAN BERITA AI
  • PDRM bersama TNB menjalankan 347 serbuan untuk membanteras perlombongan kripto haram.
  • Siasatan setakat ini tidak menemukan bukti penglibatan anggota polis, pekerja TNB atau pihak berkuasa tempatan.
  • Tindakan diambil mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik 1990.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, ia hasil sebanyak 347 serbuan yang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“PDRM membuat siasatan mengikut Akta Bekalan Elektrik 1990 manakala, TNB mengambil tindakan berdasarkan kehilangan hasil akibat kecurian elektrik berhubung dakwaan kecurian bekalan elektrik,” katanya.

Berhubung dakwaan penglibatan anggota polis, pekerja TNB dan Majlis Daerah Manjong dalam kegiatan terbabit, beliau menjelaskan bahawa hasil siasatan yang dijalankan setakat ini, tidak menemukan sebarang bukti yang mengaitkan mana-mana pihak dengan unsur subahat.

Datuk Seri Dr. Shamsul menjawab pertanyaan yang dikemukakan wakil Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham di Parlimen.

Mengulas lanjut katanya, bagi kes yang disiasat PDRM, tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan berkaitan perbuatan khianat serta mana-mana peruntukan undang-undang lain yang bersesuaian berdasarkan fakta kes.

“Manakala, kesalahan yang melibatkan kecurian bekalan elektrik akan diambil tindakan di bawah Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik 1990 oleh agensi yang mempunyai bidang kuasa dengan kerjasama PDRM,” ujar beliau.

Tambah beliau, perlombongan kripto secara haram kebiasaannya dilakukan bagi mengurangkan kos operasi yang tinggi yang mana turut memberi kesan kepada hasil negara serta menjejaskan bekalan elektrik kepada komuniti setempat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.