
DUNGUN, 7 Julai – Sebanyak 14 syarikat industri memeterai surat hasrat (LOI) dengan Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA), Dungun bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam melahirkan tenaga kerja Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berkemahiran tinggi yang memenuhi keperluan industri.
- Kerjasama melibatkan perkongsian kepakaran, teknologi, kemudahan latihan dan pembangunan modal insan untuk menyelaraskan latihan dengan keperluan industri.
- Pengenalan ekosistem Teaching and Collaboration Hub berasaskan automotif menyokong teknologi hijau dan kenderaan elektrik, meningkatkan kebolehpasaran graduan.
- Syarikat menawarkan latihan industri bermentoran, tempoh enam bulan hingga setahun, membimbing pelajar untuk diserap sebagai pekerja berkemahiran.
Menurut Ahli Jawatankuasa Penasihat Industri PSMZA, Datuk Nor Hisham Mohd Ariffin, kerjasama itu melibatkan perkongsian kepakaran, teknologi, kemudahan latihan dan pembangunan modal insan.
Beliau berkata inisiatif berkenaan turut memastikan latihan yang ditawarkan sentiasa relevan dengan keperluan semasa pasaran pekerjaan.
“Dari segi skop, sememangnya menghubungkan pihak industri dengan institusi. Alhamdulillah, hari ini kita memeterai surat hasrat (LOI) dengan kira-kira 14 syarikat untuk berkolaborasi dengan Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin. Salah satu kriteria dalam pemilihan syarikat yang terlibat ialah kepakaran yang dimiliki oleh mereka”, katanya.
Selain pemeteraian LOI, program turut memperkenalkan ekosistem ‘Teaching and Collaboration Hub’ berteraskan bidang automotif.
Usaha itu membuka peluang kepada industri teknologi hijau, khususnya sektor kenderaan elektrik, untuk melahirkan tenaga kerja mahir yang bersedia memenuhi permintaan industri pada masa depan, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran graduan, dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Sementara itu, wakil syarikat GGR Motor, Izwan Rozlin berkata kerjasama dengan Politeknik Sultan Mizan Zainal membuka peluang kepada pelajar untuk menjalani latihan praktikal yang selaras dengan keperluan industri.
“Bidang kenderaan elektrik (EV) merupakan sektor yang masih baharu dan mempunyai prospek yang luas. Saya yakin dalam tempoh 10 tahun akan datang, industri EV dijangka berkembang pesat dan berkait dengan latihan yang disediakan di politeknik”, katanya.
Manakala, wakil Sapura Industrial Berhad, Hashem abdullah berkata syarikat menawarkan peluang kepada pelajar menjalani program latihan industri selama enam bulan hingga setahun sebelum diserap sebagai pekerja.
“Cabaran pastinya ada kerana kami dalam industri, menerima pelbagai jenama maksudnya seperti hibrid dan kenderaan elektrik, setiap pelajar yang mengikuti latihan akan dibimbing oleh mentor yang berpengalaman”, katanya.