Kapal tangki minyak di Selat Hormuz dihentam projektil misteri

Foto Fail

LONDON, 7 Julai Sebuah kapal tangki minyak dilaporkan dihentam satu projektil  tidak dikenali sehingga mencetuskan kebakaran di luar pantai Oman, berhampiran Selat Hormuz pada Isnin.

RINGKASAN BERITA AI
  • Insiden mengancam perjanjian gencatan senjata AS dan Iran.
  • UKMTO mengesahkan laporan; pihak berkuasa menyiasat dan menasihati kapal agar berwaspada.
  • Laporan AS mendakwa Iran lancarkan sekurang-kurangnya dua peluru berpandu terhadap kapal komersial; AFP dan Pentagon belum mengesahkan.

Insiden terbaharu ini sekali gus mengancam perjanjian gencatan senjata yang baharu ditandatangani antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran.

Agensi Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom (UKMTO) mengesahkan serangan itu berlaku pada kedudukan lapan batu nautika di timur kawasan Limah, Oman.

“Sebuah kapal tangki melaporkan telah dihentam oleh projektil yang tidak dikenali pada bahagian kiri kapal hingga menyebabkan kebakaran berlaku ketika ia sedang berlayar ke arah selatan,” menurut kenyataan UKMTO di platform X.

Bagaimanapun, tiada kehilangan nyawa atau kerosakan alam sekitar dikesan setakat ini.

Pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan lanjut, manakala semua kapal yang melalui laluan berkenaan dinasihatkan berwaspada dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan.

Dalam perkembangan berkaitan, portal berita berpangkalan di AS, Axios, melaporkan bahawa Iran didakwa telah melancarkan sekurang-kurangnya dua peluru berpandu ke arah kapal-kapal komersial.

Laporan itu memetik kenyataan dua pegawai AS yang enggan mendedahkan identiti mereka.

Salah seorang pegawai tersebut mendakwa sebuah lagi kapal komersial berasingan turut menjadi sasaran dan mengalami kerosakan.

Setakat ini, agensi berita AFP belum dapat mengesahkan laporan Axios, malah Pihak Pentagon juga belum memberikan sebarang ulasan rasmi.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.