Bursa saham Seoul merosot

Foto HIASAN

HONG KONG, 7 Julai  – Pasaran saham Seoul sekali lagi mengalami kerugian dalam dagangan bercampur-campur di Asia pada Selasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Samsung mengumumkan lonjakan keuntungan operasi suku kedua melebihi 1,800% tetapi sahamnya merosot sekitar 7%, mencetuskan jualan besar.
  • Penurunan Samsung mengheret indeks Kospi turun kira-kira 5%, memburukkan aliran jualan dua minggu terakhir.
  • Kejadian itu mencetuskan kebimbangan rali berasaskan AI mungkin mula kehilangan momentum, walaupun pasaran AS ditutup tinggi.

Kemerosotan ini berlaku selepas saham Samsung jatuh merundum meskipun syarikat itu mencatatkan lonjakan keuntungan luar biasa.

Situasi ini sekali gus mencetuskan kebimbangan bahawa rali pasaran berasaskan kecerdasan buatan (AI) sebelum ini mungkin sudah mula kehilangan momentum.

Pelabur di Asia dilihat gagal meneruskan momentum positif daripada Wall Street.

Ketiga-tiga indeks utama Amerika Syarikat (AS) ditutup tinggi selepas bercuti panjang, dipacu oleh keuntungan syarikat gergasi seperti Amazon dan Apple.

Lonjakan di AS tersebut pada mulanya meredakan sedikit kebimbangan mengenai kejatuhan sektor teknologi sejak beberapa minggu kebelakangan ini, terutamanya berhubung persoalan sama ada pelaburan besar-besaran dalam sektor AI mampu memberikan pulangan setimpal.

Gergasi teknologi Korea Selatan, Samsung pada mulanya dilihat berjaya mengumumkan unjuran lonjakan keuntungan operasi suku kedua melebihi 1,800 peratus, hasil permintaan berterusan terhadap cip memori dipacu teknologi AI.

Bagaimanapun, saham syarikat itu sebaliknya menyusut sekitar tujuh peratus pada awal dagangan, mengheret turun indeks Kospi sebanyak lima peratus, sekali gus memburukkan lagi aliran jualan yang telah melanda pasaran tersebut sejak dua minggu lalu.

Indeks Kospi sebelum ini meningkat lebih dua kali ganda tahun ini untuk mencapai paras tertinggi dalam sejarah bulan lalu, namun susut sekitar 20 peratus sejak tempoh berkenaan.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.