Kestabilan harga minyak mentah dorong pertumbuhan ekonomi dunia

Foto hiasan /RTM

KUALA LUMPUR, 7 Julai Kestabilan harga minyak mentah dunia pada paras antara AS$70 hingga AS$75 setong dijangka memberi impak positif kepada ekonomi global, khususnya dalam mengurangkan kos operasi perniagaan, meredakan tekanan inflasi serta merangsang aktiviti pelaburan dan perbelanjaan pengguna.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kestabilan harga minyak menjadikan persekitaran perniagaan lebih kondusif melalui penurunan kos input tenaga dan pengurusan perbelanjaan operasi lebih berkesan.
  • Kos pengangkutan dan logistik dijangka menurun apabila perbelanjaan bahan api berkurangan, menyumbang kepada penurunan kadar penghantaran jika rantaian bekalan stabil.
  • Sektor pertanian dan perladangan akan mendapat manfaat melalui pengurangan kos baja bergantung kepada gas asli, meningkatkan margin keuntungan pengeluar.
  • Kestabilan harga boleh meredakan tekanan inflasi, menguatkan kuasa beli pengguna, merangsang pelaburan, dan memberi ruang kepada bank pusat mengekalkan dasar sokongan.

Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata, sekiranya harga minyak kekal pada paras tersebut, ia berpotensi mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih kondusif menerusi penurunan kos input berkaitan tenaga, selain membantu syarikat menguruskan perbelanjaan operasi dengan lebih berkesan.

“Kos pengangkutan dan logistik dijangka menurun apabila perbelanjaan bahan api berkurangan, sekali gus berpotensi menyumbang kepada penurunan kadar penghantaran, dengan syarat rantaian bekalan global kekal stabil.

“Walaupun kos penghantaran kontena masih berada pada paras yang tinggi, trend keseluruhannya dijangka bergerak ke arah normalisasi secara beransur-ansur apabila penjimatan kos bahan api mula diterjemahkan kepada kos logistik yang lebih rendah,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, sektor pertanian dan perladangan turut dijangka meraih manfaat daripada kestabilan harga tenaga memandangkan kos pengeluaran baja, khususnya baja berasaskan nitrogen adalah bergantung kepada gas asli sebagai bahan mentah utama.

Menurut beliau, perkembangan itu dijangka mengurangkan kos pengeluaran petani serta meningkatkan margin keuntungan dalam sektor pertanian dan perladangan.

Dalam masa sama, katanya, harga minyak yang kekal pada paras itu juga dijangka membantu meredakan tekanan inflasi global dengan mengurangkan inflasi yang berpunca daripada peningkatan kos pengeluaran.

Keadaan itu katanya, bukan sahaja mampu meningkatkan kuasa beli pengguna, malah menggalakkan pelaburan perniagaan serta memberi lebih ruang kepada bank-bank pusat untuk mengekalkan dasar monetari yang menyokong pertumbuhan ekonomi.

“Bagaimanapun, prospek tersebut masih tertakluk kepada perkembangan geopolitik global dan risiko gangguan bekalan minyak.

“Sebarang peningkatan ketegangan geopolitik atau pengurangan pengeluaran minyak secara tidak dijangka berpotensi mengubah semula hala tuju pasaran tenaga,” katanya lagi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.