MATRADE jana lebih RM58 Juta di Program Imersi Pasaran ke Korea Selatan

Foto Ihsan MATRADE

KUALA LUMPUR, 7 Julai Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) berjaya menjana jualan lebih RM58 juta dalam Program Imersi Pasaran ke Korea Selatan, sekali gus mencerminkan peningkatan permintaan terhadap kepakaran dan penyelesaian teknologi bernilai tinggi daripada syarikat tempatan di pasaran antarabangsa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program Imersi Pasaran ke Korea Selatan (29 Jun hingga 1 Jul 2026) melibatkan lima syarikat Malaysia sektor Pertumbuhan Tinggi, Nilai Tinggi.
  • Syarikat menawarkan penyelesaian berteknologi tinggi termasuk pemeriksaan keselamatan berasaskan AI, perkhidmatan perisian, penilaian teknikal dan pemetaan pintar.
  • Peserta terlibat dalam sesi padanan perniagaan, lawatan syarikat dan libat urus pasaran bersama firma Korea untuk meneroka kerjasama.
  • Program hasil kerjasama MATRADE dan MARA susulan MoU November 2025 untuk memperkukuh daya saing dan kesiapsiagaan eksport syarikat Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abu Bakar Yusof berkata pencapaian positif itu membuktikan syarikat Malaysia memiliki kepakaran, keupayaan serta penyelesaian inovatif yang mampu bersaing dalam pasaran luar negara yang mencabar.

“Korea Selatan kekal sebagai pasaran penting yang menawarkan peluang besar kepada syarikat Malaysia, khususnya dalam bidang berasaskan inovasi dan perkhidmatan khusus.

“Melalui kerjasama dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA), kami menyediakan platform berkesan kepada syarikat Malaysia untuk berinteraksi secara langsung dengan pemain industri utama, memperluas rangkaian antarabangsa serta membuka peluang komersial baharu,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelas beliau, program itu bukan sahaja membuka peluang jaringan perniagaan dan kerjasama strategik, malah memberi pendedahan kepada syarikat Malaysia mengenai trend industri serta amalan perniagaan bagi memperkukuh kedudukan mereka di pasaran Korea Selatan.

Program Imersi Pasaran ke Korea Selatan menerusi Program MARA’s Gate to Global yang berlangsung dari 29 Jun hingga 1 Julai 2026 di Seoul itu melibatkan penyertaan lima syarikat Malaysia yang mewakili sektor Pertumbuhan Tinggi, Nilai Tinggi.

Syarikat terbabit menawarkan kepakaran dalam pelbagai bidang berteknologi tinggi termasuk penyelesaian pemeriksaan keselamatan berasaskan kecerdasan buatan (AI), perkhidmatan perisian dan AI, penilaian teknikal serta pengesahan pembangunan pusat data, perkhidmatan kenderaan kendalian jauh dan teknologi pemetaan pintar.

Sepanjang program tiga hari itu, peserta terlibat dalam sesi padanan perniagaan, lawatan syarikat serta aktiviti libat urus pasaran bersama syarikat Korea Selatan dan firma teknologi tempatan bagi meneroka peluang kerjasama serta pengembangan pasaran.

Program itu merupakan sebahagian daripada kerjasama strategik antara MATRADE dan MARA susulan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) pada November 2025, yang menggabungkan kepakaran MATRADE dalam promosi perdagangan antarabangsa dengan ekosistem pembangunan usahawan MARA.

Melalui kerjasama berkenaan, kedua-dua agensi komited untuk terus memperkukuh usaha membantu syarikat Malaysia menembusi pasaran global menerusi pembangunan perniagaan strategik, peningkatan kesiapsiagaan eksport serta pembentukan jaringan kerjasama antarabangsa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.