
MUMBAI, 6 Julai – Hujan lebat berterusan akibat musim monsun di negeri Maharashtra, barat India, mengakibatkan tanah runtuh di Lebuh Raya Ekspres Mumbai–Pune sehingga menyebabkan laluan itu ditutup, sekali gus mengganggu pergerakan trafik dan pengangkutan pada Isnin.
- Beberapa jalan utama di Mumbai dan Pune dinaiki air, penduduk terpaksa meredah kawasan banjir.
- Perkhidmatan kereta api terganggu; beberapa laluan digantung atau dialihkan susulan kerosakan landasan.
- IMD mengekalkan amaran merah untuk Mumbai, jangkaan hujan lebat berterusan.
- Sekurang-kurangnya enam maut termasuk lima kanak-kanak selepas beberapa bangunan runtuh; sekolah ditutup.
Beberapa jalan utama di Mumbai dan Pune turut dinaiki air, manakala penduduk terpaksa meredah kawasan yang ditenggelami banjir.
Menurut pihak berkuasa, laluan di lebuh raya tersebut ditutup sebagai langkah berjaga-jaga selepas kejadian tanah runtuh di kawasan berbukit, sementara kerja pembersihan dan pemantauan keselamatan dijalankan.
Hujan lebat turut menjejaskan perkhidmatan pengangkutan lain, termasuk beberapa laluan kereta api antara Mumbai dan Pune yang terpaksa digantung atau dialihkan susulan kejadian tanah runtuh dan kerosakan pada landasan.
Jabatan Meteorologi India (IMD) memaklumkan, amaran merah yang dikeluarkan untuk Mumbai sejak beberapa hari lalu kekal berkuat kuasa pada Isnin berikutan jangkaan hujan lebat berterusan.
Mumbai, yang juga pusat kewangan India, merekodkan taburan hujan melebihi 100 milimeter.
Dalam perkembangan berkaitan, sekurang-kurangnya enam orang, termasuk lima kanak-kanak, maut selepas beberapa bangunan runtuh di pinggir timur Mumbai pada Ahad, ketika hujan lebat terus melanda bandar itu.
Keadaan cuaca buruk turut menyebabkan sekolah ditutup serta menjejaskan operasi pengangkutan awam di beberapa kawasan. – REUTERS