
MARAN, 6 Julai – Jaringan desa tidak boleh terhenti di sempadan negara, sebaliknya mesti berani berhubung dengan dunia luar untuk menjadi pemain ekonomi serantau.
- Agenda Ekonomi Desa Nasional perlu jadi 'blueprint' besar untuk melakar kejayaan pembangunan desa dan persiapan memasuki pasaran global.
- Pembangunan desa mesti holistik meliputi ekonomi, keusahawanan, pendidikan, modal insan, infrastruktur, teknologi, pelancongan, koperasi dan kesejahteraan komuniti.
- Inisiatif seperti RiSsMART, IkonDesa, Desa Kirana dan Gate to Global bantu usahawan desa tembus pasaran lebih luas.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata produk desa mesti berani memasuki pasaran dunia.
Katanya, Agenda Ekonomi Desa Nasional yang diperkenalkan sebelum ini perlu menjadi ‘blueprint’ besar bagi melakar kejayaan baharu pembangunan desa negara.
Justeru beliau berkata pembangunan desa dalam negara perlu diperkukuh terlebih dahulu sebelum ke peringkat global.
“Ia bukan hanya tentang membina insfrastruktur dan bantuan tetapi melibatkan ekosistem lengkap merangkumi ekonomi, keusahawanan, pendidikan, modal insan dan infrastruktur termasuk pelaburan, teknologi, pelancongan, koperasi serta kesejahteraan komuniti,” katanya.
Beliau berbangga melihat pembangunan desa yang lebih menyeluruh bukan hanya perubahan fizikal, malah lebih berdaya saing dan bersedia untuk memasuki pasaran masa hadapan.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berucap pada Majlis Sambutan Hari Pembangunan Luar Bandar Sedunia 2026 di Bandar Pusat Jengka di sini.
Beliau menambah, bagi merealisasikan hasrat tersebut dalam tempoh tiga tahun ini, RiSsMART dan IkonDesa telah membantu produk usahawan desa memasuki pasaran lebih luas.
“Melalui Desa Kirana pula, kementerian telah memperkukuh produk pelancongan desa supaya lebih terususun, berstruktur dan berdaya saing. Oleh itu, lebih 7,000 usahawan baharu telah diwujudkan di seluruh negara.
Sebanyak 15,000 peluang pekerjaan diwujudkan di samping mencatatkan nilai jualan lebih RM1.77 bilion,” jelasnya.
Beliau berkata, menerusi program ‘Gate to Global’, KKDW telah membawa produk desa ke pasaran luar negara dan telah mencatatkan transaksi jualan mencecah RM1.11 bilion sepanjang Rancangan Malaysia ke-12.