
KUALA LUMPUR, 6 Julai – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) mengambil alih sepenuhnya pengurusan Pusat Sehenti Pengurusan Pekerja Asing (OSC) berkuat kuasa serta-merta susulan keputusan Jemaah Menteri pada 1 Julai lalu.
- Memperkukuh tadbir urus pengambilan pekerja asing dan memastikan keperluan tenaga sektor industri dipenuhi secara lebih cekap dan sistematik.
- Permohonan kuota dilaksanakan sepenuhnya secara digital melalui modul e-Kuota dalam FWCMS, menghapuskan sistem giliran di kaunter.
- Saringan dokumen dijalankan secara dalam talian untuk meningkatkan ketelusan, memendekkan tempoh pemprosesan dan kurangkan kebergantungan urusan fizikal.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan, berkata langkah itu bertujuan memperkukuh tadbir urus pengambilan pekerja asing, di samping memastikan keperluan tenaga kerja sektor industri dapat dipenuhi secara lebih cekap dan sistematik.
“Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing Bilangan 1 Tahun 2026 bertarikh 30 Jun 2026 menetapkan Pusat Sehenti Pengurusan Pekerja Asing (One Stop Centre) diletakkan di bawah Kementerian Sumber Manusia berkuat kuasa serta-merta,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas Kementerian Sumber Manusia di ibu negara, hari ini.
Pada masa sama, Datuk Seri Ramanan berkata permohonan kuota pekerja asing kini dilaksanakan sepenuhnya secara digital menerusi modul e-Kuota dalam sistem Foreign Worker Centralized Management System (FWCMS), sekali gus menghapuskan sistem giliran di kaunter dan mempercepatkan proses permohonan.
Menurut beliau, saringan dokumen turut dijalankan secara dalam talian bagi meningkatkan ketelusan, mengurangkan tempoh pemprosesan serta menghapuskan kebergantungan kepada urusan fizikal di kaunter.
“Saringan dokumen yang lebih telus kini dilaksanakan secara dalam talian. Langkah ini mengurangkan urusan di kaunter, memendekkan tempoh pemprosesan dan menghapuskan keperluan mendapatkan nombor giliran.
“Majikan hanya perlu mengemukakan permohonan melalui sistem dalam talian yang disediakan,” katanya.
Menurut beliau, permohonan kuota kini dibuka kepada 15 negara sumber yang dibenarkan, iaitu Bangladesh, India, Nepal, Myanmar, Pakistan, Vietnam, Kemboja, Thailand, Indonesia, Filipina, Sri Lanka dan Laos, selain tiga negara yang tidak aktif iaitu Uzbekistan, Kazakhstan dan Turkmenistan.
Sehingga kini, sebanyak 22,476 permohonan melibatkan 548 syarikat telah diterima, dengan setiap permohonan akan melalui semakan agensi berkaitan sebelum dipertimbangkan oleh OSC.
Beliau berkata, KESUMA juga akan mengadakan sesi libat urus bersama semua pihak berkepentingan, termasuk Kementerian Dalam Negeri (KDN), dalam masa terdekat bagi menyelaras aspek logistik susulan pengambilalihan pengurusan OSC.