
KOTA KINABALU, 11 September -Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dijadikan naratif nasional dan tidak dilihat sebagai isu khusus melibatkan Sabah dan Sarawak semata-mata.
- MA63 mesti difahami sebagai komitmen nasional bagi pembangunan, kestabilan dan pembinaan negara.
- Rakyat diajak tidak melihat MA63 sebagai isu kaum, parti atau kelompok, tetapi wacana memberi keuntungan kepada negara.
- MA63 disamakan dengan komitmen kemerdekaan 1957 dan perlu dimasukkan dalam dasar serta naratif nasional yang diterima semua.
Datuk Seri Anwar berkata, pendekatan itu amat penting bagi memastikan MA63 difahami sebagai komitmen nasional berkaitan pembangunan, kestabilan serta pembinaan negara.
“Itu (MA63) harus diterangkan sebagai satu naratif nasional. Kita perlu mengajak rakyat Malaysia supaya tidak hanya bercakap soal kaum, parti atau kelompok masing-masing, tetapi melihatnya sebagai satu wacana yang memberikan keuntungan kepada negara.
“Jadi, saya sangat yakin kerana sekarang ini kita jelaskan betul-betul bahawa ini adalah komitmen nasional dan dasar nasional,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) Tahun 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini.
Menurut beliau, MA63 perlu dilihat dalam konteks komitmen yang menjadi asas kepada pembentukan Malaysia pada 1963, sebagaimana komitmen kemerdekaan Tanah Melayu pada 1957.
Perdana Menteri berharap pendekatan itu dapat diterima rakyat di Semenanjung serta Sabah dan Sarawak, dengan meletakkan MA63 dalam kerangka ‘National Policy, National Commitment and National Narrative’.