Suspek tikam pelajar sekolah di Banting ditahan

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar

SHAH ALAM, 6 Julai – Suspek dalam insiden tikam membabitkan seorang pelajar di sebuah sekolah menengah di Banting, pagi tadi telah ditahan manakala mangsa menerima rawatan di hospital serta dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

RINGKASAN BERITA AI
  • Polis sahkan kejadian berlaku sekitar 9.30 hingga 10.00 pagi; keadaan di lokasi terkawal.
  • Video tular memaparkan pelajar berlari selepas individu dilihat memegang pisau; polis menyiasat punca.
  • JPN gerakkan kaunselor dan Guru Bimbingan dan Kaunseling untuk sokongan psikososial kepada warga sekolah.
  • JPN serta polis menasihatkan orang ramai jangan buat spekulasi atau sebarkan maklumat tidak disahkan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kejadian dipercayai berlaku antara pukul 9.30 hingga 10.00 pagi dan keadaan di lokasi kini terkawal.

“Setakat ini saya mengesahkan kejadian berlaku sekitar pukul 9.30 hingga 10.00 pagi. Suspek telah ditangkap, manakala mangsa dibawa ke hospital dan berada dalam keadaan stabil. Mangsa merupakan pelajar sekolah berkenaan.

“Lain-lain masih dalam siasatan. Keadaan terkawal, jadi saya meminta ibu bapa dan masyarakat supaya tidak panik dan memberi ruang kepada polis menjalankan siasatan,” katanya ketika dihubungi RTM.

Terdahulu, tular satu video di media sosial memaparkan sekumpulan pelajar bertempiaran lari selepas seorang individu dipercayai pelajar sekolah itu dilihat memegang sebilah pisau di kawasan sekolah berkenaan. Polis kini menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kejadian.

Sementara itu Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor dalam satu kenyataan lain memaklumkan seorang murid yang cedera dalam insiden tikam di sebuah sekolah di Selangor kini sedang menerima rawatan di hospital.

Manakala suspek kejadian telah ditahan polis bagi membantu siasatan. JPN sedia memberi kerjasama penuh kepada polis bagi memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh.

“Keutamaan ketika ini adalah memastikan mangsa menerima rawatan terbaik, selain menyalurkan bantuan sewajarnya kepada keluarga murid yang terlibat.

“Pada masa sama, pasukan kaunselor serta Guru Bimbingan dan Kaunseling telah digerakkan bagi menyediakan sokongan psikososial kepada murid, guru dan seluruh warga sekolah yang terkesan dengan kejadian itu,” menurut kenyataan itu.

JPN Selangor turut menggesa orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak disahkan kerana boleh menjejaskan proses siasatan yang sedang dijalankan pihak berkuasa. Insiden berkenaan kini dalam siasatan polis.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.