Bapa maut, dua anak parah dalam nahas selepas makan malam

Makan malam berakhir tragedi, bapa maut dua anak parah.

KEMAMAN, 6 Julai – Seorang bapa maut manakala dua anak lelakinya cedera parah selepas motosikal dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Pengkalan Cicar, Kampung Bukit Kuang, di sini, malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Motosikal dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah Toyota Hilux dipandu lelaki berusia 23 tahun.
  • Hilux gagal mengelak; hentaman pada bahagian hadapan motosikal menyebabkan ia diseret kira-kira lima meter, penumpang tercampak ke jalan.
  • Anak Muhammad Nuh Zaim (2) dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah; Muhammad Luth Ziyad (6) dirawat di Hospital Kemaman, dilapor stabil.
  • Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.10 malam itu, mangsa, Muhammad Zarol Che Aziz, 29, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah pada kepala dan badan.

Dua anak mangsa, Muhammad Nuh Zaim, 2, dan Muhammad Luth Ziyad, 6, turut mengalami kecederaan parah pada kepala serta anggota badan.

Ketika kejadian, ketiga-tiga mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Rakyat Bestari, Kampung Bukit Kuang selepas selesai makan malam.

Siasatan awal polis mendapati motosikal yang dinaiki mangsa dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah Toyota Hilux yang dipandu lelaki berusia 23 tahun.

Pemandu Hilux itu dipercayai gagal mengelak sebelum melanggar bahagian hadapan motosikal berkenaan, menyebabkan motosikal itu diseret kira-kira lima meter, manakala mangsa bersama dua anaknya tercampak ke atas jalan.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk dibedah siasat.

Sementara itu, Muhammad Nuh Zaim dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut, manakala Muhammad Luth Ziyad menerima rawatan di Hospital Kemaman dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.