
SINTOK, 6 Julai – Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Utara Malaysia (UUM) menolak tanggapan negatif pihak tertentu kononnya Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tidak lagi memberi perhatian sewajarnya terhadap kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa.
- UUM meletakkan kebajikan mahasiswa sebagai keutamaan melalui pembangunan ekosistem kebajikan menyeluruh.
- MPP melengkapkan ekosistem kebajikan dengan memastikan setiap inisiatif sampai kepada mahasiswa yang memerlukan.
- Pelaksanaan inisiatif seperti Dapur Siswa MADANI, Menu Kasih Siswa dan Food Bank MADANI membantu kesejahteraan pelajar.
- MPP bertindak sebagai rakan strategik universiti, melaksanakan tindakan tersusun dan berkesan untuk menjaga kebajikan mahasiswa.
Yang Dipertua MPP UUM sesi 2025/2026, Muhammad Syahmi Iman Muhammad Rezal berkata IPT seperti UUM sentiasa meletakkan kebajikan mahasiswa sebagai keutamaan melalui pembangunan ekosistem kebajikan yang menyeluruh.
Di samping itu, MPP memainkan peranan sebagai pelengkap kepada ekosistem tersebut bagi memastikan setiap inisiatif tersebut sampai kepada mahasiswa yang memerlukan.
“Dalam memastikan kebajikan mahasiswa terus terpelihara, UUM bersama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah melaksanakan pelbagai inisiatif. Antaranya, Dapur Siswa MADANI, Menu Kasih Siswa, Food Bank MADANI dan pelbagai bentuk bantuan lain,” jelasnya.
Beliau berkata inisiatif tersebut digerakkan melalui peranan MPP sebagai pelaksana di peringkat akar umbi agar bantuan dapat disampaikan secara cepat, tepat dan menyeluruh.
“MPP bukan lagi sekadar suara rasmi kepada mahasiswa hari ini tetapi rakan strategik universiti. Peranan kami adalah melengkapkan ekosistem kebajikan universiti melalui tindakan yang strategik, tersusun dan berkesan dan diakhirnya kebajikan mahasiswa dapat dijaga,” ujarnya.