
KUALA LUMPUR, 5 Julai- Jaringan minit ke-57 oleh Eliman Maisara Riduwan memastikan Selangor Sports School (SSS) menewaskan SSN Predators Girls 1-0 dalam aksi Kumpulan C TNB Liga Hoki Remaja Malaysia (TNB MJHL) 2026 kategori perempuan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, hari ini.
- Pasukan saling berbalas serangan; ketumpulan penyudah dan pertahanan ketat mengekalkan kedudukan tanpa jaringan sehingga suku akhir.
- Jaringan lewat memberikan keputusan positif sebagai permulaan kempen dan memecah kebuntuan perlawanan.
- Ketua jurulatih kurang berpuas hati; pasukan guna rehat sehari baiki kelemahan walau dua tonggak cedera, sasaran sekurang-kurangnya ke perlawanan akhir.
Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan sejak awal permainan, namun ketumpulan penyudah serta ketatnya benteng pertahanan menyaksikan kedudukan kekal tanpa jaringan sehingga suku terakhir.
SSS akhirnya memecah kebuntuan apabila Eliman Maisara menyempurnakan jaringan padang pada minit ke-57 untuk menghadiahkan tiga mata pertama buat pasukannya.
Ketua Jurulatih SSS, Muhamad Shukri Johari berkata beliau masih belum berpuas hati dengan prestasi pasukan, namun menganggap kemenangan itu penting sebagai permulaan kempen.
“Secara keseluruhan saya kurang berpuas hati dengan prestasi, mungkin kerana ini perlawanan pertama. Pemain masih mencari rentak, tetapi jaringan pada saat akhir memberikan keputusan positif kepada pasukan,” katanya.
Beliau berkata pasukan akan memanfaatkan tempoh rehat sehari bagi memperbaiki kelemahan sebelum aksi menentang Prodigy-THC, meskipun berdepan masalah kecederaan membabitkan dua tonggak utama.
SSS meletakkan sasaran untuk melangkah lebih jauh musim ini dengan misi sekurang-kurangnya mara ke perlawanan akhir selepas menamatkan saingan di tempat keenam musim lalu.