TNB Liga Hoki Remaja Malaysia 2026: MBPJ menang bergaya 4-0 ke atas Prodigy-THC

Pasukan MBPJ (kuning) menang bergaya 4-0 ke atas Prodigy-THC Storm PPHT (jingga) di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, hari ini/ RTM

KUALA LUMPUR, 5 Julai- Akademi Hoki Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memulakan kempen Kumpulan C TNB Liga Hoki Remaja Malaysia (TNB MJHL) 2026 kategori perempuan dengan kemenangan bergaya 4-0 ke atas Prodigy-THC Storm PPHT di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • MBPJ memanfaatkan tiga pukulan sudut penalti pada suku pertama untuk mendahului dan memperoleh kelebihan awal.
  • Nursyafeena menjaringkan dua gol (minit 5, 46); Aqhinatul minit 8 dan Nurul Iszra minit 14.
  • Ketua jurulatih Alam Syah sasar ke final selepas tewas di separuh akhir musim lalu; anggap liga penting untuk pembangunan bakat muda.

MBPJ bermula garang apabila memanfaatkan tiga pukulan sudut penalti pada suku pertama untuk berada dalam kedudukan selesa.

Nursyafeena Zulaika Mohamad Yusmadi membuka jaringan pada minit kelima diikuti Aqhinatul Safiyyah Hashmi (minit kelapan) dan Nurul Iszra Damia Muhd Iskandar (minit ke-14) untuk mendahului 3-0 pada separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Prodigy-THC cuba mengatur serangan, namun ketumpulan penyudah serta ketahanan benteng pertahanan MBPJ menyaksikan kedudukan kekal.

Nursyafeena Zulaika sekali lagi meledak pada minit ke-46 untuk melengkapkan kemenangan 4-0 MBPJ.

Ketua jurulatih MBPJ, Alam Syah Mohd Salim berkata kemenangan itu menjadi permulaan positif dalam usaha mencapai sasaran ke final selepas tewas di separuh akhir musim lalu.

“Untuk edisi kali ini, sasaran kami ke perlawanan akhir selepas tahun lalu tewas di separuh akhir,” katanya.

Beliau berkata TNB MJHL menjadi platform penting dalam pembangunan bakat muda serta pendedahan kepada persaingan kompetitif.

MBPJ dijadual berdepan SSN Predators Girls pada Selasa ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.