Perpaduan rakyat tunjang Malaysia dihormati dunia – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Majlis Ramah Mesra bersama DUN Senggarang di Batu Pahat / Foto ihsan FB Anwar Ibrahim

BATU PAHAT, 5 Julai – Keamanan dan kerjasama erat antara rakyat pelbagai kaum menjadi tunjang utama yang menjadikan Malaysia terus dihormati dan disegani di peringkat antarabangsa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Imej positif negara meningkatkan keyakinan luar dan memacu kerjasama strategik dalam pelbagai bidang.
  • Malaysia memperoleh akses kepada salah satu telaga simpanan gas terbesar di Turkmenistan, menjamin bekalan tenaga kira-kira 50 tahun.
  • Hubungan baik dengan negara luar adalah aset penting yang perlu dipelihara demi kepentingan generasi akan datang.
  • Perdana Menteri menyeru rakyat menjaga perpaduan dan mengajak pengundi Johor memberi peluang Pakatan Harapan mentadbir negeri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, imej positif negara itu turut meningkatkan keyakinan negara luar untuk menjalinkan kerjasama dengan Malaysia dalam pelbagai bidang strategik.

Menurut beliau, perkara itu dapat dilihat menerusi hubungan diplomatik serta kerjasama ekonomi, termasuk dalam sektor tenaga apabila Malaysia berjaya memperoleh akses kepada salah satu telaga simpanan gas terbesar dunia di Turkmenistan.

“Di Turkmenistan, semua negara mahu mendapatkan gas mereka. Amerika, China, Rusia semua mahu, tetapi kita berbincang secara baik dan akhirnya Turkmenistan memberikan kerjasama kepada Malaysia. Ini sumber gas yang besar dan akan menjamin bekalan tenaga negara untuk tempoh panjang, kira-kira 50 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah Mesra bersama DUN Senggarang sempena lawatan hari keduanya ke Johor, di sini, hari ini.

“Saya pergi mana-mana di dunia, orang hormat bukan sebab Anwar, tetapi sebab Malaysia aman. Mereka tahu Malaysia ada Melayu majoriti, Cina, India, Iban dan semua kaum, tetapi kenapa mereka hormat? Sebab kita aman dan bekerjasama baik,” tambahnya.

Beliau menegaskan bahawa hubungan baik dengan negara luar adalah aset penting yang perlu dipelihara demi kepentingan generasi akan datang.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat supaya terus menjaga perpaduan yang telah terjalin dan tidak merosakkannya dengan perpecahan.

Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) turut menyeru pengundi di Johor supaya memberi peluang kepada gabungan itu mentadbir negeri bagi memastikan segala isu dan masalah rakyat dapat ditangani dengan lebih berkesan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.