
ALOR SETAR, 5 Julai – Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah menegaskan Baginda tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang sengaja mencemarkan imej dan reputasi Pulau Langkawi.
- Baginda menegaskan tidak akan berkompromi dengan pihak yang sengaja mencemarkan imej dan reputasi Pulau Langkawi.
- Langkawi ialah aset strategik; khazanah alam dan warisan mesti dipelihara dan dibangunkan secara lestari, tanpa meniru destinasi lain.
- Baginda meminta Kerajaan Persekutuan menyemak semula kadar bayaran pajakan Pulau Pinang yang diterima Kerajaan Kedah menurut nilai semasa.
Baginda bertitah Pulau Langkawi merupakan aset strategik yang bukan sahaja berperanan sebagai destinasi pelancongan utama, malah memangkin pertumbuhan ekonomi.
“Kekuatan sebenar Langkawi terletak pada khazanah alam semula jadi dan warisan unik yang dimilikinya. Justeru, aset berharga ini wajib dipelihara dan dibangunkan secara lestari,” titah Sultan Sallehuddin.
Baginda juga mahu Pulau Legenda itu dibentuk mengikut acuan dan identiti tersendiri, tanpa meniru atau membandingkannya dengan destinasi pelancongan lain seperti Phuket, Thailand atau Bali, Indonesia.
Sultan Sallehuddin bertitah demikian pada Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah serta Bintang Kebesaran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda ke-84 di Istana Anak Bukit, di sini hari ini.
Dalam titah sama, Sultan Sallehuddin meminta Kerajaan Persekutuan mengkaji semula kadar bayaran pajakan Pulau Pinang yang diterima Kerajaan Kedah, kerana kadar ketika ini jauh lebih rendah daripada nilai sewajarnya.
Baginda bertitah, bayaran pajakan yang diterima Kerajaan Kedah ketika ini adalah berdasarkan perjanjian yang dimeterai sejak sekian lama dan sewajarnya disemak mengikut kadar semasa selaras dengan semangat serta maksud asal perjanjian berkenaan.