Pemerkasaan bumiputera perlu penglibatan menyeluruh

Datuk Seri Anwar Ibrahim/ BERNAMA

PUTRAJAYA, 4 Julai – Agenda pemerkasaan bumiputera bukan lagi tanggungjawab agensi tertentu semata-mata, sebaliknya menjadi salah satu agenda nasional yang perlu dilaksanakan semua kementerian, agensi dan syarikat kerajaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Setiap kementerian dan agensi wajib menyelaraskan dasar serta melaporkan pencapaian pelan transformasi untuk memastikan pelaksanaan menyeluruh.
  • Kerajaan tidak akan menubuhkan agensi baharu; fokus pada memperkasakan institusi sedia ada dan mengelakkan pertindihan fungsi.
  • PuTERA35 diperkenalkan dan dipantau secara berkala, dengan laporan kementerian memastikan pemantauan pencapaian berterusan.
  • Pendekatan Raising the Ceiling dan Raising the Floor memacu daya saing sambil memastikan pengagihan kekayaan yang adil dan inklusif.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setiap agensi kerajaan perlu menyelaraskan dasar dan program masing-masing, bagi memastikan agenda pembangunan bumiputera dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

“Semua agensi Kerajaan MADANI bertanggungjawab memenuhi dasar negara. Dasar negara ialah memacu pertumbuhan ekonomi dan pada masa sama menjamin pengagihan yang adil dan saksama,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama merasmikan SPaRK 2026 anjuran Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB), di sini, hari ini.

Kerajaan juga telah memperkenalkan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35), yang kini dipantau secara berkala dengan setiap kementerian dan agensi diwajibkan melaporkan pencapaian masing-masing.

Dalam pada itu kerajaan tidak bercadang menubuhkan agensi bumiputera baharu, sebaliknya mahu memperkasakan institusi sedia ada serta memastikan semua kementerian dan agensi memainkan peranan masing-masing.

Sementara itu berkenaan pelaksanaan agenda tersebut ia dilihat akan mempercepat lagi pelaksanaan dasar serta mengelakkan pertindihan fungsi antara agensi.

Perdana Menteri berkata pengekalan kaedah lama dalam kepimpinan hanya sekadar menghasilkan keputusan yang sama untuk tempoh masa panjang.

“Saya fikir kalau kita ikut teruskan kaedah lama kemudian mengharapkan hasil yang lebih baik, itu tidak mungkin berlaku.

“Sebab itu saya tidak cenderung menubuhkan agensi bumiputera baharu, tetapi saya cenderung memastikan agensi ini diperkasakan,” katanya.

Kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada usaha memacu pertumbuhan ekonomi negara, tanpa mengabaikan pengagihan kekayaan secara adil kepada rakyat.

Pembangunan ekonomi negara perlu dilaksanakan secara inklusif, dengan memastikan semua golongan terus mendapat manfaat.

“Kita tidak menghalang sesiapa bekerja keras memacu pertumbuhan ekonomi, sama ada dalam kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran kuantum, ekonomi digital atau peralihan tenaga. Tetapi pada masa sama kita mesti memastikan pengagihan yang adil,” katanya.

Kerajaan mengamalkan pendekatan Raising the Ceiling (Menaikkan Siling) bagi meningkatkan daya saing ekonomi negara dan pada masa sama Raising the Floor (Meninggikan Lantai), untuk membantu golongan masih memerlukan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.