Wanita rentung, ibu melecur dalam kebakaran rumah di Serian

Foto JBPM Sarawak

SERIAN, 4 Julai – Seorang wanita berusia 37 tahun maut selepas ditemukan rentung dalam kebakaran yang memusnahkan sebuah rumah di Kilometer 23, Jalan Tebedu, Kampung Tubih Batu Raung, awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mangsa ditemukan rentung dalam ruang tandas rumah berkenaan.
  • Ibu mangsa, Sharifah Bok Wan Muhsin, 65 tahun, melecur tahap dua sekitar 38 peratus badan.
  • Jentera bomba tiba pada 12.52 pagi dan berjaya mengawal kebakaran pada 1.15 pagi.
  • Rumah setingkat musnah sepenuhnya, operasi ditamatkan pada 3.45 pagi selepas lokasi disahkan selamat.

Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak dalam kenyataan memaklumkan, mangsa, Nurul Farhana Amerudin, ditemukan rentung di dalam ruang tandas rumah berkenaan.

Pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.29 tengah malam sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian dengan bantuan BBP Siburan digerakkan ke lokasi.

“Dalam kejadian sama, ibu mangsa, Sharifah Bok Wan Muhsin, 65 tahun, mengalami kecederaan melecur tahap dua melibatkan kira-kira 38 peratus anggota badan, termasuk bahagian muka, leher, belakang badan, tangan dan tapak kaki.

“Jentera bomba tiba di lokasi pada pukul 12.52 tengah malam dan berjaya mengawal kebakaran pada pukul 1.15 pagi,” menurut kenyataan itu.

Kebakaran melibatkan sebuah rumah kekal setingkat yang musnah sepenuhnya.

Mangsa yang melecur telah dihantar oleh penduduk kampung ke Hospital Serian untuk mendapatkan rawatan sebelum ketibaan pasukan bomba.

Sementara itu, mayat mangsa yang rentung dikeluarkan dengan kerjasama pihak polis dan pegawai perubatan Kementerian Kesihatan sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 3.45 pagi selepas bomba memastikan lokasi berada dalam keadaan selamat dan tiada lagi punca api.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.