Piala Dunia: Belanda ambil tindakan undang-undang terhadap penghinaan perkauman

foto REUTERS

THE HAGUE, 3 Julai – Persatuan Bola Sepak Belanda (KNVB) memaklumkan bahawa pihaknya telah membuat laporan kepada pejabat pendakwa raya berhubung mesej berbaur perkauman yang disiarkan susulan penyingkiran pasukan negara itu daripada Piala Dunia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kekalahan kepada Maghribi melalui penalti mencetuskan gelombang penghinaan di media sosial, menyasarkan pemain-pemain berkulit hitam.
  • KNVB menyatakan mustahil mengesan dan bertindak terhadap semua mesej perkauman, namun mahu menghantar mesej tegas bahawa ada batas.
  • Justin Kluivert, Quinten Timber dan Crysencio Summerville menjadi sasaran penghinaan berunsur perkauman dan diskriminasi selepas perlawanan.
  • Perdana Menteri Rob Jetten mengutuk kejadian, menggesa tindakan undang-undang sebagai pengajaran dan menegaskan pemain tetap dianggap 'anak-anak kita'.

Kekalahan skuad Oranje kepada Maghribi menerusi penentuan sepakan penalti pada Isnin mencetuskan gelombang penghinaan di media sosial, khususnya menyasarkan pemain-pemain berkulit hitam Belanda.

KNVB menegaskan, semua mesej berkenaan telah diserahkan kepada pejabat pendakwa raya untuk tindakan undang-undang selanjutnya.

“Malangnya, adalah mustahil untuk mengesan dan mengambil tindakan terhadap setiap mesej berunsur perkauman, namun KNVB mahu menghantar mesej yang sangat jelas.

“Ada batas yang tidak boleh dilanggar dan mereka yang melanggarnya perlu berdepan akibatnya,” menurut kenyataan persatuan itu.

Belanda, yang tiga kali muncul naib juara Piala Dunia, tewas kepada Maghribi menerusi penentuan penalti dalam perlawanan pusingan 32 terakhir di Monterrey, Mexico, selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1.

Tiga pemain yang gagal menyempurnakan sepakan penalti, iaitu Justin Kluivert, Quinten Timber dan Crysencio Summerville, menjadi sasaran penghinaan “berunsur perkauman dan diskriminasi” di media sosial selepas perlawanan itu, menurut KNVB.

Perdana Menteri Belanda, Rob Jetten, berkata kepada pemberita bahawa beliau menjangkakan pihak pendakwa raya akan meneruskan tindakan undang-undang sebagai pengajaran kepada pihak lain.

“Apa yang berlaku selepas perlawanan pusingan 32 terakhir itu sememangnya tidak boleh diterima sama sekali,” katanya.

“Ketika mereka memakai jersi oren, mereka dianggap sebagai ‘anak-anak kita’ dan warna kulit mereka tidak menjadi isu.

“Namun apabila seseorang gagal menyempurnakan sepakan penalti, pelbagai kata-kata kebencian terus dilemparkan dari segenap penjuru,” tambah beliau. – AFP

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.