Manifesto PH pertaruh pekerjaan bergaji tinggi, perumahan dan kesihatan

Naib Presiden Keadilan, Datuk Seri Amirudin Shari (tengah) menyempurnakan Majlis Peluncuran Manifesto Harapan Johor Untuk Semua hari ini/Foto BERNAMA

JOHOR BAHRU, 3 Julai – Pakatan Harapan (PH) melancarkan manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 dengan menawarkan 10 komitmen utama yang memfokuskan aspek kebajikan rakyat, pemerkasaan ekonomi, peluang pekerjaan, pendidikan dan perumahan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mewujudkan 250,000 peluang pekerjaan bergaji tinggi dan bermaruah untuk memperkukuh ekonomi negeri.
  • Menyediakan bantuan perumahan: RM8,000 untuk rumah pertama, Dana Anak Muda RM500 juta dan 80,000 rumah mampu milik lima tahun.
  • Memperkenalkan Skim Kesihatan Johor hingga RM100,000 setahun dan menghidupkan semula Kad Sihat Johor untuk 500,000 rakyat.

Manifesto itu dilancarkan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Amirudin Shari dan disusun berdasarkan keperluan semasa rakyat serta kemampuan pelaksanaan sekiranya PH diberi mandat mentadbir Johor selepas hari pengundian pada 11 Julai ini.

Calon N41 Puteri Wangsa, Dr. Maszlee Malik berkata, manifesto berkenaan dirangka hasil libat urus pelbagai pihak termasuk golongan muda yang turut menyumbang idea dalam pembentukan kerangka tawaran tersebut.

“Tekad manifesto kami ialah ‘Johor Untuk Semua’ yang menjadi asas kepada setiap tawaran yang dikemukakan demi kesejahteraan seluruh rakyat Johor.

“Kami tidak mahu ada mana-mana pihak yang tercicir, sama ada berdasarkan kedudukan geografi mahupun kelompok masyarakat tertentu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Peluncuran Manifesto PH di sini, hari ini.

Antara tawaran utama yang diumumkan ialah memperkenalkan Skim Kesihatan Johor bernilai sehingga RM100,000 setahun termasuk menghidupkan semula Kad Sihat Johor yang dijangka memberi manfaat kepada 500,000 rakyat.

PH turut berjanji menyediakan bantuan RM8,000 bagi pembelian rumah pertama untuk anak Johor, mewujudkan Dana Anak Muda Johor berjumlah RM500 juta serta membina 80,000 rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun.

Dalam sektor pendidikan, gabungan itu menawarkan penyediaan internet berkelajuan tinggi berasaskan kecerdasan buatan (AI) di semua sekolah sehingga mencapai liputan 100 peratus.

Bagi memperkukuh ekonomi negeri, PH mencadangkan penubuhan Dana PKS dan Usahawan Johor bernilai RM1 bilion, termasuk membantu 20,000 perusahaan menjalani pendigitalan.

Manifesto itu turut memberi penekanan kepada usaha memperkasa Johor sebagai pengeluar utama agromakanan, memacu industri bernilai tinggi termasuk sektor minyak dan gas, mengurangkan tempoh menunggu di pintu sempadan sehingga 50 peratus serta mewujudkan 250,000 peluang pekerjaan bergaji tinggi dan bermaruah.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.