
KUALA LUMPUR, 3 Julai – Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah menyalurkan faedah berjumlah lebih RM1.2 juta kepada Orang Berinsurans (OB) di bawah Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 Jam) sejak inisiatif itu diperkenalkan sebulan yang lalu.
- Purata hampir 20 kes sehari direkodkan, menunjukkan LINDUNG 24 Jam menutup kelompangan perlindungan sosial di luar waktu kerja.
- Jumlah pembayaran tertinggi melibatkan kos implan RM1.16 juta, diikuti Faedah Hilang Upaya Sementara RM99,269.
- Perlindungan di luar waktu kerja diberikan secara automatik kepada pencarum Akta 4 walaupun potongan caruman belum dilaksanakan.
PERKESO memaklumkan, bagi tempoh sama sebanyak 592 permohonan kes turut diterima.
Menurut PERKESO, jumlah tertinggi pembayaran faedah menerusi skim LINDUNG 24 Jam melibatkan kos implan iaitu sebanyak RM1.16 juta, diikuti Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS) berjumlah RM99,269.
“Secara purata, hampir 20 kes sehari direkodkan di bawah LINDUNG 24 Jam, sekali gus menjadi manifestasi usaha PERKESO bagi menutup kelompangan perlindungan sosial yang ada di Malaysia.
”Jika dulu, insiden di luar waktu kerja tidak dilindungi tapi dengan LINDUNG 24 Jam, situasi kini berubah. Fokus perlindungan sosial kini tidak lagi tertumpu kepada insiden pergi balik kerja atau musibah di tempat kerja, sebaliknya menjadi lebih menyeluruh walaupun ketika berada di rumah,” menurut kenyataan itu.
Jelas PERKESO, perlindungan di luar waktu kerja bagi pencarum Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) adalah secara automatik, walaupun potongan caruman belum dilaksanakan.
Katanya, ia mencerminkan kepentingan dan peranan sebenar LINDUNG 24 Jam sebagai jaringan keselamatan sosial yang lebih menyeluruh buat rakyat.
“Apabila musibah berlaku di luar waktu kerja, kos perubatan boleh menjejaskan simpanan keluarga manakala ketidakmampuan bekerja mampu memberi kesan kepada kelangsungan sosioekonomi.
”Oleh itu, PERKESO komited untuk memperluas kesedaran mengenai skim LINDUNG 24 Jam agar lebih ramai cakna manfaatnya, selain memastikan tiada golongan pekerja tercicir daripada menerima perlindungan, termasuk ketika di luar waktu kerja,” menurut kenyataan sama.
Selain kos implan dan FHUS, turut diperuntukkan di bawah skim berkenaan ialah bayaran rawatan perubatan dan pembedahan; bayaran Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK) berdasarkan taksiran Jemaah Doktor; Faedah Orang Tanggungan (FOT); Elaun Layanan Sentiasa (ELS); serta bayaran pemulihan di pusat rehabilitasi PERKESO.