
JOHOR BAHRU, 3 Julai – Isu ekonomi seperti gaji, harga barang dan peluang pekerjaan dijangka menjadi antara faktor utama yang mempengaruhi kecenderungan pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16.
- Johor catat kedudukan ekonomi kukuh melalui pelaburan bernilai tinggi dan projek pembangunan berskala mega.
- Manfaat pertumbuhan mesti dirasai rakyat melalui peluang pekerjaan lebih baik, peningkatan pendapatan dan kos sara hidup terkawal.
- Golongan belia dan pengundi pertengahan semakin pragmatik, memilih berdasarkan prestasi serta penyelesaian bukan semata-mata ideologi.
- Kerajaan baharu perlu beri keutamaan kepada pendapatan, kos sara hidup, manfaat pelaburan dan kesejahteraan sosial untuk kemakmuran Johor.
Walaupun Johor terus merekodkan prestasi ekonomi yang memberangsangkan, pengundi kini lebih menilai sejauh mana manfaat daripada pertumbuhan tersebut dapat dirasai dalam kehidupan harian mereka.
Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Johor Kampus Pasir Gudang, Nurul Fahana Aini Harun berkata, Johor mempunyai kedudukan ekonomi yang kukuh menerusi kemasukan pelaburan bernilai tinggi serta pelaksanaan projek pembangunan berskala mega.
Menurut beliau, kejayaan itu hanya bermakna sekiranya rakyat menikmati peluang pekerjaan yang lebih baik, pendapatan yang meningkat serta kos sara hidup yang lebih terkawal.
Beliau berkata, corak pengundian juga menunjukkan perubahan apabila golongan belia dan pengundi pertengahan semakin bersifat pragmatik, dengan membuat pilihan berdasarkan prestasi serta penyelesaian yang ditawarkan berbanding sentimen atau ideologi politik semata-mata.
“Setiap generasi mempunyai keutamaan yang berbeza.
“Golongan belia lebih menitikberatkan peluang pekerjaan, kadar gaji, pemilikan rumah pertama serta jaminan masa depan.
“Sebaliknya, golongan yang sudah berkeluarga lebih memberi perhatian terhadap kos sara hidup, pendidikan dan kestabilan pendapatan.
“Justeru, setiap kelompok pengundi mempunyai sentimen dan keutamaan yang berbeza dalam membuat pilihan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berpandangan kerajaan baharu yang bakal dipilih perlu memberi keutamaan kepada enam aspek utama, termasuk meningkatkan pendapatan rakyat, mengurangkan tekanan kos sara hidup, memastikan pelaburan memberi manfaat kepada rakyat serta memperkukuh kesejahteraan sosial bagi menjamin kemakmuran Johor pada masa hadapan.