
KIEV, 3 Julai – Pihak berkuasa Ukraine menggesa penduduk di ibu negaranya mengehadkan aktiviti di luar rumah susulan peningkatan mendadak pencemaran udara akibat kebakaran yang tercetus selepas serangan besar-besaran Rusia.
- Kebakaran akibat serangan menyebabkan kepulan asap tebal dan bahan tercemar terperangkap di atmosfera kerana angin lemah.
- Orang ramai dinasihatkan tutup tingkap, kurangkan masa di luar, minum air secukupnya dan guna penapis udara pada tetapan maksimum.
- Pemantauan kualiti udara menunjukkan bacaan antara sederhana hingga sangat tidak sihat di beberapa stesen.
Menurut seorang pegawai, sekurang-kurangnya 30 orang terbunuh antara lewat malam Rabu hingga awal pagi Khamis dalam serangan terbesar Rusia ke atas Kiev sejak pencerobohan penuh dilancarkan pada Februari 2022.
Serangan itu menyebabkan beberapa bangunan terbakar sekali gus menghasilkan kepulan asap tebal yang menyelubungi beberapa kawasan di bandar berkenaan.
Wartawan AFP di pusat bandar Kiev melaporkan jerebu masih menyelubungi ruang udara bandar itu, manakala bau asap yang kuat dapat dihidu di kebanyakan kawasan.
Dalam kenyataan di Telegram, pentadbiran tentera Kiev memaklumkan bahan yang tercemar masih terperangkap di atmosfera berikutan kebakaran akibat serangan pada malam 2 Julai selain keadaan angin yang lemah.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya menutup tingkap, mengehadkan masa berada di luar rumah, minum air secukupnya serta menggunakan penapis udara pada tetapan maksimum jika memilikinya.
Sementara itu, syarikat pemantauan kualiti udara dari Switzerland, IQAir mengklasifikasikan kualiti udara di Kiev sebagai “sederhana” setakat pukul 11.00 pagi waktu tempatan pada Jumaat.
Namun, beberapa stesen pemantauannya merekodkan bacaan pada tahap “sangat tidak sihat”.
Sejak melancarkan pencerobohan ke atas Ukraine pada Februari 2022, Rusia hampir setiap malam melancarkan serangan udara ke atas negara itu.
Ukraine yang turut melancarkan serangan balas ke atas wilayah Rusia, menegaskan pihaknya pasti akan bertindak balas terhadap serangan besar-besaran yang berlaku pada Khamis. – AFP