
PARIS, 3 Julai – Perancis merekodkan peningkatan hampir 30 peratus jumlah kematian pada minggu bermula 22 Jun lalu iaitu ketika kemuncak gelombang haba luar biasa yang melanda negara itu, menurut pihak berkuasa kesihatan awam pada Jumaat.
- Paris merekodkan peningkatan kematian 62 peratus; Pays de la Loire pula mencatat peningkatan serupa.
- Sebahagian besar peningkatan kematian melibatkan mereka berumur 45 tahun ke atas, terutama golongan 65 tahun ke atas.
- Kematian di kediaman hampir berganda dalam seminggu; pihak berkuasa menjangkakan angka korban akan terus meningkat.
- Kerajaan berdepan usul undi tidak percaya susulan kritikan pengendalian gelombang haba; sekolah dan perkhidmatan kereta api turut terjejas.
Laporan terbaharu Pihak Berkuasa Kesihatan Awam Perancis menunjukkan jumlah kematian di Paris meningkat 62 peratus dalam tempoh sama manakala peningkatan serupa turut direkodkan di wilayah barat Pays de la Loire.
Pihak berkuasa menjangkakan angka kematian itu akan terus meningkat.
Sementara itu, kerajaan pimpinan Perdana Menteri Sébastien Lecornu pula berdepan usul undi tidak percaya di Parlimen yang dijangka dibentangkan seawal Isnin, susulan kritikan terhadap pengendalian gelombang haba pada Jun lalu apabila suhu melebihi 40 darjah Celsius di banyak kawasan.
Cuaca panas melampau itu menjejaskan kehidupan harian termasuk memaksa sekolah ditutup dan perkhidmatan kereta api dibatalkan.
Pihak berkuasa kesihatan awam memaklumkan terdapat peningkatan sebanyak 29.1 peratus, bersamaan 2,025 kematian tambahan berbanding minggu sebelumnya, namun menegaskan angka itu berkemungkinan lebih rendah daripada jumlah sebenar.
Menurut agensi itu, peningkatan kematian hampir keseluruhannya membabitkan individu berusia 45 tahun ke atas.
“Walaupun peningkatan yang ketara turut direkodkan dalam kalangan mereka yang berusia 45 hingga 64 tahun, golongan berumur 65 tahun ke atas masih menyumbang bahagian terbesar daripada jumlah kematian,” menurut kenyataan agensi itu.
Peningkatan paling ketara melibatkan kematian di rumah dengan jumlahnya hampir berganda dalam tempoh seminggu.
Lecornu berkata lebih ramai individu meninggal dunia di kediaman masing-masing sepanjang gelombang haba terbaharu berbanding episod gelombang haba sebelum ini.
Beberapa ahli politik mendakwa Perancis masih gagal melaksanakan langkah yang mencukupi bagi menangani peningkatan suhu akibat perubahan iklim.
Pada 2003, kira-kira 15,000 orang maut akibat gelombang haba yang teruk dengan ramai warga emas meninggal dunia di pusat jagaan.
Walaupun gelombang haba pada kali ini disifatkan lebih ekstrem, pihak berkuasa berpandangan kesannya tidak seteruk tragedi yang berlaku pada 2003.
“Ia mungkin tidak akan setanding,” kata Menteri Kesihatan Stéphanie Rist.
Sementara itu, Ketua Pengarah sistem hospital awam Paris, Nicolas Revel berkata jumlah korban akibat gelombang haba ini dijangka lebih rendah berbanding 2003, namun berkemungkinan melebihi angka 5,700 kematian yang direkodkan ketika gelombang haba tahun lalu.
Dalam perkembangan sama, parti The Greens mendakwa gelombang haba mungkin menyebabkan sehingga 10,000 kematian di Perancis namun dakwaan itu disangkal keras oleh Lecornu.
Perancis turut berdepan gelombang haba luar biasa seawal Mei dengan pegawai kesihatan memaklumkan sekurang-kurangnya 300 kematian direkodkan melebihi jangkaan dalam tempoh berkenaan. – AFP