
QUETTA, 3 Julai – Sekurang-kurangnya 40 orang maut selepas sebuah bas yang membawa penumpang melebihi kapasiti terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung di barat Pakistan pada Jumaat, menurut pihak berkuasa.
- Ketua Menteri mengarahkan siasatan segera, sementara Perdana Menteri menzahirkan rasa dukacita.
- Operasi menyelamat sukar kerana lokasi pergunungan sukar diakses; pasukan dari kedua wilayah terlibat di tempat kejadian.
- Kemalangan mendedahkan isu keselamatan jalan raya termasuk penguatkuasaan lemah, pemanduan laju dan sikap pemandu cuai.
Ketua Menteri Balochistan mengarahkan siasatan segera dijalankan bagi mengenal pasti punca nahas, manakala Perdana Menteri, Shehbaz Sharif pula menzahirkan rasa dukacita terhadap tragedi yang meragut banyak nyawa itu.
Ketua Pusat Kecemasan daerah Zhob, Sanaullah Sherani berkata bas yang dalam perjalanan dari Quetta ke Peshawar itu terjunam ke dalam gaung di kawasan pergunungan Dana Sar.
“Setakat ini, 40 orang disahkan maut, manakala 11 lagi cedera,” katanya.
Menurut beliau, semua mangsa yang cedera telah dikejarkan ke hospital dengan tiga daripadanya dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.
“Bas itu terjatuh kira-kira 21 hingga 24 meter ke dalam gaung.
“Operasi menyelamat pada peringkat awal berdepan kesukaran berikutan lokasi nahas yang terletak di kawasan pergunungan dan sukar diakses,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Ketua Menteri Balochistan, Shahid Rind berkata bas berkenaan bertolak dari Quetta pada petang Khamis.
Menurutnya, bas malang itu mengambil penumpang tambahan daripada sebuah bas lain yang mengalami kerosakan di sepanjang perjalanan menyebabkan jumlah penumpangnya melebihi kapasiti.
Siasatan turut memberi tumpuan kepada punca nahas yang berlaku berhampiran sempadan wilayah Khyber Pakhtunkhwa di barat laut Pakistan.
Pasukan penyelamat dari kedua-dua wilayah kini berada di lokasi bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat.
Kemalangan jalan raya sering berlaku di Pakistan berikutan penguatkuasaan undang-undang lalu lintas yang lemah, pemanduan melebihi had laju, tahap keselamatan jalan raya yang rendah serta sikap pemandu yang cuai. – AFP