
KUALA PERLIS, 3 Julai – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memperuntukkan RM100,000 bagi membaik pulih jeti tambatan bot untuk kemudahan komuniti nelayan di Kampung Kurung Tengar, di sini.
- Baik pulih jeti beri manfaat dan keselesaan kepada kira-kira 600 nelayan melibatkan 200 bot pendaratan hasil laut.
- LKIM memperuntuk dana untuk projek baik pulih jeti demi kemudahan komuniti nelayan.
- Ketua Pengarah menasihatkan nelayan mengutamakan keselamatan dengan memakai jaket susulan cuaca tidak menentu.
Ketua Pengarahnya, Dr Abdul Salim Tajudin berkata, kerja membaik pulih jeti itu bakal memberi manfaat serta keselesaan kepada kira-kira 600 nelayan membabitkan 200 bot pendaratan hasil laut di kawasan berkenaan.
“Hari ini juga kita berada di satu jeti yang perlu dibaiki dan saya ingin mengumumkan bahawa kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM100,000 untuk membaiki jeti tambatan ini,” katanya.
Sebelum ini, LKIM turut membiayai projek pembinaan titian di kampung berkenaan dengan kos berjumlah RM50,000.
Dr Abdul Salim ditemui media selepas Program Penyerahan Jeti Tambatan Bot kepada Komuniti Nelayan Kurong Tengar, di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan nelayan supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan ketika turun ke laut dengan memakai jaket keselamatan berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini.