PM lulus tambahan RM10 Juta bagi geran padanan ganti teksi lama

Datuk Seri Anwar Ibrahim/ RTM

KUALA LUMPUR, 3 Julai- Kerajaan menambah peruntukan sebanyak RM10 juta bagi Program Pembaharuan Teksi MADANI Nasional, menjadikan jumlah keseluruhan dana RM20 juta menerusi skim pemadanan bersama Proton.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perdana Menteri meluluskan dana tambahan segera susulan sambutan menggalakkan terhadap skim pembaharuan teksi.
  • Inisiatif membolehkan pemandu memiliki kenderaan pada harga lebih kompetitif serta kos penyelenggaraan dan pembiayaan lebih rendah.
  • Permit teksi kekal atas nama pemandu sendiri dan tidak boleh dipindah milik kepada pihak lain.
  • Kerajaan menyasarkan pendapatan pemandu meningkat kepada RM5,000 hingga RM7,000 melalui pengurangan kos, latihan digital dan pembayaran tanpa tunai.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penambahan itu dibuat susulan sambutan menggalakkan terhadap skim berkenaan yang dilihat mampu meningkatkan kebajikan serta pendapatan pemandu teksi.

“Oleh kerana sambutan skim ini amat baik, saya meluluskan serta-merta tambahan dana sebanyak RM10 juta lagi pada hari ini,” katanya ketika melancarkan Program Pembaharuan Teksi MADANI Nasional di Dataran Merdeka, di sini, hari ini.

Inisiatif itu membolehkan pemandu teksi memiliki kenderaan Proton S70 pada harga lebih kompetitif, selain menikmati kos penyelenggaraan dan pembiayaan lebih rendah.

Beliau berkata kerajaan mengekalkan dasar permit teksi atas nama pemandu sendiri bagi memastikan manfaat terus dinikmati golongan yang benar-benar mencari rezeki.

“Permit teksi kekal di atas nama pemandu sendiri dan tidak boleh dipindah milik kepada pihak lain,” katanya.

Menurutnya, kerajaan menyasarkan pendapatan pemandu teksi meningkat kepada antara RM5,000 hingga RM7,000 sebulan menerusi pengurangan kos operasi, latihan teknologi digital serta penggunaan sistem pembayaran tanpa tunai.

Beliau turut menyifatkan pemandu teksi sebagai duta pelancongan negara yang memainkan peranan penting dalam mempamerkan imej Malaysia kepada pelancong.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.