
KUALA LUMPUR, 3 Julai – Keputusan kerajaan memansuhkan caj RM1 bagi pengeluaran wang tunai antara bank menerusi mesin pengeluaran wang automatik (ATM) terus menerima reaksi positif daripada orang ramai yang menyifatkan langkah itu mampu mengurangkan beban kos harian, khususnya kepada pengguna yang masih bergantung kepada transaksi tunai.
- Langkah ini memberi penjimatan kepada peniaga kecil, membantu kurangkan kos operasi harian.
- Inisiatif meringankan beban kos sara hidup pengguna yang kerap melakukan transaksi tunai di ATM.
- Manfaat kepada warga emas dan mereka tanpa cawangan bank dekat, memudahkan akses perbankan tanpa kos tambahan.
Tinjauan RTM mendapati, pemansuhan caj tersebut memberi manfaat kepada pelbagai lapisan masyarakat termasuk peniaga kecil, warga emas dan individu yang kerap menggunakan mesin ATM bank lain.
Bagi peniaga kecil, penjimatan walaupun hanya RM1 bagi setiap transaksi mampu mengurangkan kos operasi dalam jangka panjang kerana urusan pengeluaran wang dilakukan hampir setiap hari.

Peniaga, Muhammad Ruzaini Azahari berkata, pemansuhan caj itu memberi kesan yang besar kepada peniaga kecil kerana transaksi pengeluaran wang dilakukan hampir setiap hari.
“Walaupun hanya RM1 bagi setiap transaksi, jika dikumpulkan sepanjang tahun jumlahnya agak besar. Jadi, pemansuhan caj ini memang membantu mengurangkan kos kami,” katanya.

Seorang pengguna, Amirah Muhammad Zin, pula menyifatkan langkah itu sebagai tepat pada masanya dalam membantu rakyat menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat.
“Keadaan ekonomi ketika ini agak mencabar. Dengan pemansuhan caj ini, sekurang-kurangnya ia dapat mengurangkan sedikit beban perbelanjaan harian pengguna,” katanya.

Sementara itu, Gunasegaran a/l Chatramatu berkata, inisiatif berkenaan turut memberi manfaat kepada warga emas yang masih bergantung kepada pengeluaran wang tunai di ATM.
“Ramai warga emas tidak menggunakan telefon pintar dan masih mengeluarkan wang di ATM. Ada juga yang terpaksa menggunakan ATM bank lain kerana tiada cawangan berhampiran. Jadi, pemansuhan caj ini benar-benar meringankan beban mereka,” katanya.
Beliau berharap inisiatif tersebut dapat diteruskan bagi memastikan lebih ramai pengguna menikmati kemudahan perbankan tanpa dikenakan kos tambahan.
Secara keseluruhannya, orang ramai menyifatkan pemansuhan caj pengeluaran ATM antara bank bukan sahaja membantu mengurangkan perbelanjaan harian, malah memudahkan urusan kewangan rakyat, terutama golongan yang masih bergantung kepada penggunaan wang tunai.
Caj RM1 bagi pengeluaran tunai antara bank menerusi mesin ATM berkuat kuasa 1 Julai lalu.
Terdahulu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, keputusan itu dicapai hasil perbincangan antara Kementerian Kewangan dan institusi perbankan bagi memastikan akses kepada perkhidmatan kewangan lebih mudah dan tidak membebankan pengguna.