MSPO diiktiraf Belanda, perkukuh daya saing minyak sawit Malaysia hadapi EUDR

Foto MOF

PUTRAJAYA, 3 Julai – Pengiktirafan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) oleh Netherlands Food and Consumer Product Safety Authority (NVWA) dijangka memperkukuh kesiapsiagaan industri sawit negara dalam memenuhi keperluan ketat pasaran Kesatuan Eropah (EU) menjelang pelaksanaan European Union Deforestation Regulation (EUDR).

RINGKASAN BERITA AI
  • NVWA terima MSPO sebagai Private Control System, membolehkan penghantaran berpensijil dipertimbangkan di bawah prosedur penyeliaan NVWA.
  • Pengiktirafan mengukuhkan MSPO sebagai standard nasional dengan struktur pensijilan, audit dan kawal selia yang tersusun.
  • KPK akan memperkukuh pelaksanaan MSPO, fokus pada pematuhan, kebolehkesanan, audit dan sokongan kepada pekebun kecil serta pemain industri.

Menteri Perdagangan dan Komoditi Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad dalam kenyataan hari ini memaklumkan, NVWA menerima MSPO sebagai Private Control System di bawah kerangka pelaksanaan EUDR, sekali gus mengiktiraf sistem pensijilan nasional itu sebagai mekanisme jaminan pihak ketiga yang menyokong penyeliaan pematuhan terhadap peraturan berkenaan.

“Pengiktirafan itu mengukuhkan kedudukan MSPO sebagai standard nasional yang mempunyai struktur pensijilan, audit dan kawal selia yang tersusun.

“Penerimaan ini turut membuka ruang kepada penghantaran minyak sawit Malaysia yang memiliki pensijilan MSPO untuk dipertimbangkan di bawah prosedur penyeliaan yang bersesuaian oleh NVWA, tertakluk kepada keperluan EUDR,” katanya.

Tambah beliau, perkembangan tersebut amat signifikan memandangkan Belanda merupakan antara pintu masuk utama minyak sawit ke pasaran Eropah melalui pelabuhan Rotterdam.

Ia juga hadir pada masa yang tepat apabila EUDR dijadual dikuatkuasakan kepada operator besar dan sederhana bermula 30 Disember 2026, manakala operator kecil bermula Jun 2027.

“Pengiktirafan itu akan membantu industri sawit Malaysia meningkatkan tahap kesiapsiagaan dalam aspek kelestarian, kebolehkesanan serta pematuhan rantaian bekalan di peringkat antarabangsa, termasuk melibatkan pekebun kecil yang turut berada di bawah skop pensijilan MSPO,” katanya lagi.

Sehubungan itu menurutnya, Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) akan terus memperkukuh pelaksanaan MSPO bersama agensi berkaitan, badan pensijilan, juruaudit, pemain industri dan rakan strategik antarabangsa dengan memberi tumpuan kepada aspek pematuhan, audit, kebolehkesanan serta bimbingan kepada pekebun kecil dan pemain industri.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam memperkukuh kedudukan MSPO sebagai standard nasional yang inklusif dan berwibawa.

“Pengiktirafan oleh NVWA itu sekali gus memperkukuh usaha Malaysia membangunkan industri sawit yang mampan, bertanggungjawab dan berdaya saing selaras dengan keperluan pasaran antarabangsa serta kepentingan eksport komoditi negara,” menurut kenyataan itu lagi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.