Korban trak pikap dipandu kanak-kanak rempuh perarakan agama di Thailand meningkat

Foto AFP

BANGKOK, 3 Julai – Jumlah sami yang maut dalam insiden seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun memandu sebuah trak pikap sebelum merempuh satu perarakan agama di Thailand meningkat kepada 10 orang.

RINGKASAN BERITA AI
  • 10 lagi mangsa masih dirawat, dua daripadanya kritikal selepas kejadian.
  • Sekumpulan 35 sami dan lima pengikut berjalan di tepi jalan ketika trak merempuh.
  • Polis berkata kenderaan dipandu oleh kanak-kanak yang mengambil kereta ibu bapa tanpa kebenaran.
  • Kanak-kanak dirujuk ke pihak kebajikan, ditemani ibu; bawah 12 tahun tidak dikenakan tanggungjawab jenayah.

Menurut kemas kini  Hospital Mukdahan di timur laut negara itu, 10 lagi mangsa masih dirawat dengan dua daripadanya kritikal selepas kejadian malang itu berlaku pada Khamis.

Dalam insiden berkenaan, sekumpulan 35 sami dan lima pengikut awam sedang berjalan di tepi jalan di wilayah Mukdahan apabila sebuah trak merempuh mereka.

Polis berkata, kenderaan itu dipandu oleh seorang kanak-kanak lelaki yang mengambil kenderaan ibu bapanya tanpa kebenaran.

Lima sami maut di tempat kejadian, manakala lima lagi disahkan meninggal dunia di hospital.

Ketua Polis Bandar Mukdahan, Prayut Ruanthongkam pada Jumaat memaklumkan bahawa kanak-kanak itu tidak dapat memberi keterangan kepada polis.

Kanak-kanak tersebut telah dirujuk kepada pihak kebajikan kanak-kanak untuk penilaian dan ditemani oleh ibunya.

Di Thailand, kanak-kanak bawah umur 12 tahun tidak dikenakan tanggungjawab jenayah.

Polis turut mengambil keterangan daripada saksi dalam kalangan sami yang terselamat sebagai sebahagian siasatan.

Seorang wakil dari Wat Roi Phra Phutthabat Phu Manorom, sebuah kuil di Mukdahan memberitahu, pihak kuil telah menyediakan penempatan kepada sami yang terselamat bersama pengikut lain yang terlibat dalam perarakan tersebut. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.