
KANGAR, 2 Julai – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perlis merangka beberapa langkah proaktif bagi menangani isu lebihan pengeluaran durian sepanjang musim raja buah itu yang dijangka berlangsung dari Jun hingga Ogos tahun ini.
- Penganjuran Pesta Buah-Buahan Tempatan Perlis dengan Jabatan Pertanian untuk memasarkan hasil dan menyokong 10 usahawan buah bermusim.
- Kempen Lebihkan Makan Buah-Buahan Tempatan sempena Kejohanan Woodball untuk galakkan pengambilan dan kesedaran pengguna.
- Mengaktifkan semula Pusat Pemprosesan Buah-Buahan Segar Beseri untuk menghasilkan isi durian sejuk beku bagi usahawan IMAT.
- Memperluas saluran pemasaran melalui tiga Gerai Buah-Buahan Segar dan penubuhan tiga Pusat Belian Sementara di kawasan utama.
Pengarah FAMA Perlis, Mohd Anzara Azizan berkata, pelbagai inisiatif dirangka bagi memastikan hasil pengeluaran durian dapat dipasarkan dengan lebih meluas sekali gus mengurangkan risiko lambakan di peringkat pengusaha.
Menurut beliau, antara program utama ialah penganjuran Pesta Buah-Buahan Tempatan Perlis dengan kerjasama Jabatan Pertanian Negeri yang akan berlangsung di Taman Buah-Buahan Eksotik Sungai Batu Pahat pada 25 dan 26 Julai ini, melibatkan 10 usahawan buah-buahan bermusim.
Selain itu, FAMA turut melaksanakan Kempen Lebihkan Makan Buah-Buahan Tempatan sempena Kejohanan Woodball Piala Dunia Ke-10 di Laman Woodball, Kompleks Sukan Syed Sirajuddin Areeb Putra, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Kampus Pauh Putra, Arau dari 24 hingga 30 Julai.
“Langkah lain ialah mengaktifkan semula Pusat Pemprosesan Buah-Buahan Segar FAMA Beseri bagi memproses isi durian sejuk beku untuk dipasarkan kepada usahawan Industri Makanan dan Asas Tani (IMAT) yang menghasilkan produk hiliran berasaskan durian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, outlet pemasaran FAMA turut memainkan peranan penting dalam menyerap lebihan pengeluaran menerusi tiga Gerai Buah-Buahan Segar (GBBS) di Taman Guru Jaya, Bandar Kangar dan Jejawi.
Setakat ini, hampir 160 tan metrik durian berjaya dipasarkan melalui tiga gerai berkenaan membabitkan pelbagai varieti termasuk durian kampung, Musang King dan Black Thorn.
Dalam pada itu, Mohd Anzara berkata, Pusat Operasi Kangar yang berfungsi sebagai hab pengumpulan utama hasil pertanian negeri turut membuat belian terus sebanyak 5.5 tan metrik durian kampung dari Perak dan Kedah sejak 18 Jun lalu.
Bagi memperkukuh lagi rangkaian pemasaran, FAMA akan mewujudkan tiga Pusat Belian Sementara Buah-Buahan Bermusim di kawasan utama pengeluaran iaitu Dusun Bukit Air, Dusun Batu Pahat dan Dusun Bukit Manik di Beseri.
Menurut beliau, pelaksanaan inisiatif tersebut selaras dengan Pelan Pemasaran dan Intervensi Buah-Buahan Bermusim 2026 yang dilaksanakan FAMA secara proaktif di seluruh negara bagi memastikan hasil pertanian tempatan terus mendapat akses pasaran yang lebih berkesan.