PRN Johor: Elia berhasrat wujudkan banyak peluang kerja, tumpu bidang STEM

Calon Pakatan Harapan N.05 Tenang, Elia Nadira (bertudung warna merah) / Foto Facebook Elia Nadira Sabudin

SEGAMAT, 2 Julai – Calon Pakatan Harapan (PH) N.05 Tenang, Elia Nadira memberi penekanan mengenai pemerkasaan pendidikan, pelancongan dan pertanian di kawasan berkenaan, semasa kempennya bersempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

RINGKASAN BERITA AI
  • Terima keluhan tentang kekurangan peluang pekerjaan, menyebabkan golongan muda mencari pekerjaan di luar kawasan.
  • Berhasrat memperkenalkan bidang STEM kepada anak muda, berasaskan latar belakang pendidikan dan sebagai tenaga pengajar.
  • Menjalankan sesi beramah mesra, ziarah dan mendengar hasrat belia untuk bersama membina masa depan DUN Tenang.

Elia berkata, beliau menerima keluhan dan pandangan penduduk berhubung isu kekurangan peluang pekerjaan, sehingga memaksa golongan muda mencari mata pencarian di luar kawasan.

Sehubungan itu, Elia berpandangan bahawa kepentingan potensi agropelancongan di Tenang perlu diperkasa, sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

“Disebabkan saya berlatarbelakangkan bidang pendidikan dan juga pelajar Doktor Falsafah (PhD), saya berhasrat memperkenalkan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) kepada anak-anak muda.

“Kebetulan, saya juga salah seorang tenaga pengajar,” katanya.

Hasrat mewujudkan peluang pekerjaan disampaikan oleh Elia kepada penduduk sekitar, semasa sesi beramah mesra (walkabout) dan ziarah kasih, di sini, hari ini.

Selain itu katanya, beliau akan terus menyantuni dan mendengar hasrat golongan muda untuk bersama-sama membina masa depan DUN Tenang yang lebih cerah.

Sementara itu, calon Barisan Nasional (BN) N.05, Mohd Azhar Ibrahim turut mempergiat kempen serta menyantuni penduduk Labis dan Segamat semasa Hari Kemahiran Peringkat Negeri Johor.

Program dihadiri kira-kira 1,000 orang daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.