Pengukuhan kerjasama kerajaan, sektor swasta pacu Malaysia jadi negara berpendapatan tinggi

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berucap merasmikan Forum Ekonomi Malaysia (NEF) 2026 anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) di ibu negara./ FB Liew Chin Tong

KUALA LUMPUR, 2 Julai – Malaysia berupaya muncul sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi dan berteknologi maju sekiranya kerajaan serta sektor swasta terus memperkukuh kerjasama dalam memacu pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan, inklusif dan berdaya saing.

RINGKASAN BERITA AI
  • Komitmen berterusan komuniti perniagaan penting untuk merealisasikan agenda Ekonomi MADANI demi manfaat rakyat dan pertumbuhan negara.
  • Kerjasama erat kerajaan dan sektor swasta memacu produktiviti, daya saing dan mewujudkan peluang ekonomi bernilai tinggi.
  • Pertumbuhan ekonomi dan peningkatan pendapatan rakyat adalah langkah utama mengurangkan nisbah hutang isi rumah berbanding KDNK.
  • Penguatkuasaan Suruhanjaya Kredit Pengguna dan kawal selia BNPL bertujuan lindungi pengguna dan galakkan pemberian kredit bertanggungjawab.

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, keyakinan terhadap prospek ekonomi negara perlu diterjemahkan melalui komitmen berterusan semua pihak, khususnya komuniti perniagaan, bagi merealisasikan agenda Ekonomi MADANI yang memberi manfaat kepada rakyat dan negara.

Beliau berkata, kerjasama erat antara kerajaan dan sektor swasta menjadi pemangkin penting untuk melonjakkan produktiviti, meningkatkan daya saing negara serta mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi bernilai tinggi.

“Saya optimis terhadap masa depan Malaysia. Dengan sokongan komuniti perniagaan, saya yakin negara mampu melangkah ke arah sebuah ekonomi yang lebih berteknologi, berpendapatan tinggi serta merealisasikan aspirasi Ekonomi MADANI yang mengangkat potensi pertumbuhan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Ekonomi Malaysia (NEF) 2026 anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) di Pusat konvensyen KLGCC, di sini, hari ini.

Forum bertemakan A World in Transition: Securing Malaysia’s Economic Future in an Era of Disruption itu menghimpunkan hampir 600 peserta terdiri daripada pemimpin perniagaan, pembuat dasar, pegawai kerajaan, diplomat, ahli ekonomi, ahli akademik, pelabur serta wakil industri dari seluruh negara.

Mengulas isu hutang isi rumah, Liew berkata pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh dan peningkatan pendapatan rakyat merupakan antara langkah paling berkesan untuk mengurangkan nisbah hutang isi rumah kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), yang kini berada pada sekitar 84.4 peratus.

Menurut beliau, nisbah hutang isi rumah kekal melebihi 80 peratus sejak krisis kewangan global pada 2008, dipengaruhi oleh persekitaran kadar faedah yang rendah ketika itu.

Katanya, cabaran tersebut perlu ditangani menerusi pendekatan menyeluruh yang merangkumi amalan pemberian dan pengambilan pinjaman secara bertanggungjawab, selain usaha berterusan memperkukuh pertumbuhan ekonomi negara.

“Apabila ekonomi berkembang, lebih ramai rakyat memperoleh pendapatan yang lebih baik dan lebih banyak syarikat tempatan berjaya berkembang, sekali gus mengurangkan nisbah hutang isi rumah berbanding KDNK,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan turut memperkukuh perlindungan pengguna menerusi Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) yang mula beroperasi kira-kira sebulan lalu bagi menyelia pembiayaan pengguna, termasuk kemudahan Beli Sekarang, Bayar Kemudian (BNPL).

Beliau berkata, langkah itu bertujuan memastikan amalan pemberian kredit dilaksanakan secara lebih berhemat dan bertanggungjawab, di samping melindungi kepentingan pengguna.

Tambah beliau, matlamat jangka panjang kerajaan bukan sekadar merangsang pertumbuhan ekonomi, malah memastikan hasil pertumbuhan itu dapat dinikmati secara lebih menyeluruh melalui peningkatan pendapatan rakyat dan keupayaan syarikat tempatan bersaing di peringkat global.

NEF yang memasuki edisi keenam merupakan forum ekonomi tahunan utama NCCIM yang menjadi platform dialog strategik antara kerajaan dan sektor swasta bagi membincangkan cabaran serta peluang ekonomi negara, selain mengemukakan cadangan dasar ke arah memperkukuh daya tahan, daya saing dan pertumbuhan ekonomi Malaysia secara mampan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.