Seminggu gempa Venezuela: Harapan temui mangsa terselamat tipis, risiko kebuluran meningkat

Foto REUTERS

LA GUAIRA, 2 Julai – Harapan untuk menemui mangsa yang masih hidup semakin tipis selepas seminggu kejadian gempa bumi berkembar melanda Venezuela yang meragut hampir 2,300 nyawa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mangsa terselamat berdepan kekurangan makanan teruk, persaingan ganas untuk bekalan dan risiko kebuluran meningkat.
  • Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menganggarkan kira-kira 50,000 orang masih hilang.
  • Program Makanan Sedunia lancarkan rayuan kecemasan AS$50 juta untuk menyara sekitar 500,000 mangsa selama tiga bulan.
  • WHO memberi amaran sistem kesihatan bertambah tertekan, risiko wabak campak dan difteria meningkat akibat kadar imunisasi rendah.

Pada masa sama, mangsa yang terselamat kini berdepan krisis kekurangan bekalan makanan yang amat meruncing.

Susulan lonjakan angka kematian, Presiden Interim Venezuela, Delcy Rodriguez, mengisytiharkan tempoh berkabung selama tujuh hari atas kehilangan nyawa yang begitu besar.

Majoriti runtuhan bangunan di bandar La Guaira, utara Caracas iaitu kawasan paling teruk terjejas telah ditandakan dengan huruf ‘D’ (Deceased / Meninggal Dunia) sebagai petanda kawasan itu telah diperiksa dan tiada lagi tanda-tanda kehidupan ditemui.

Meskipun terdapat keajaiban seperti penemuan seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang terselamat selepas enam hari tertimbus, pakar menegaskan mangsa terperangkap jarang mampu bertahan melebihi 72 jam.

Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan seramai 50,000 orang masih hilang.

Dua gempa bumi kuat 7.2 dan 7.5 magnitud telah memusnahkan seluruh penempatan di Venezuela, sebuah negara kaya minyak yang sememangnya sudah sedia lumpuh akibat krisis ekonomi.

Susulan kemusnahan infrastruktur, tumpuan kini beralih kepada kelangsungan hidup kerana mangsa terselamat terpaksa bersaing demi mendapatkan bekalan makanan dan air bersih yang semakin menyusut.

“Bantuan ada diagihkan tetapi kadangkala orang ramai sanggup berbunuhan sesama sendiri demi makanan.Suasana di sini tak ubah seperti gelanggang sabung ayam,” kata Daniela Armas, seorang peniaga yang ditemui di pusat perlindungan kecemasan.

Ketua Misi Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) di Venezuela, Lia Poggio mengesahkan bahawa keadaan di lapangan kini berada pada tahap amat kritikal.

Program Makanan Sedunia (WFP) juga telah melancarkan rayuan dana kecemasan berjumlah AS$50 juta untuk menyara kira-kira 500,000 mangsa bagi tempoh tiga bulan.

Selain isu kebuluran, kebimbangan terhadap penularan wabak penyakit kini semakin meningkat.

Jurucakap Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Christian Lindmeier, memberi amaran bahawa sistem perkhidmatan kesihatan Venezuela kini berada di bawah tekanan melampau.

“Terdapat risiko tinggi berlakunya penularan penyakit yang sepatutnya boleh dicegah oleh vaksin seperti campak dan difteria,” jelas beliau, memandangkan kadar imunisasi di negara itu sememangnya sudah rendah sebelum bencana berlaku.

Berdasarkan penilaian awal data satelit yang diterbitkan oleh NASA, dianggarkan sebanyak 58,870 buah bangunan telah mengalami kerosakan teruk atau musnah sepenuhnya dalam bencana tersebut.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.