15 maut dalam serangan bersenjata di Benue, Nigeria

Foto AFP

JOS PLATEAU, 2 Julai -Sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh manakala beberapa lagi cedera dalam satu serangan bersenjata terbaharu di negeri Benue, tengah Nigeria, menurut laporan keselamatan dan sumber tempatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kumpulan disyaki penggembala bersenjata menyerbu Kampung Sai, Mbarji, Katsina-Ala ketika penduduk sedang tidur kira-kira pukul 2 pagi.
  • Pemimpin daerah dan pentadbir tempatan memberikan angka korban yang bercanggah, menunjukkan kekeliruan maklumat lapangan.
  • Serangan mungkin tindak balas kepada pembunuhan pemimpin Miyetti Allah; konflik petani-penternak diperkukuh oleh isu etnik, agama dan perebutan tanah.

Menurut laporan keselamatan yang disediakan untuk Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), kumpulan disyaki penggembala bersenjata menyerbu Kampung Sai di daerah Mbarji, kawasan kerajaan tempatan Katsina-Ala kira-kira pukul 2 pagi waktu tempatan, sebelum membunuh lebih 15 penduduk dan mencederakan beberapa yang lain.

Pemimpin daerah Mbarji dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa tidak kurang daripada 15 orang terbunuh, dengan wanita dan kanak-kanak antara yang cedera.

Seorang penduduk kampung, Joseph Hir berkata serangan berlaku ketika penduduk sedang tidur.

“Kami diserang ketika sedang tidur,” katanya kepada AFP.

Bagaimanapun, pentadbir tempatan Katsina-Ala, Justine Shaku memberikan angka korban lebih rendah, dengan memaklumkan enam orang maut dan 13 lagi cedera.

“Satu serangan berlaku terhadap penduduk saya. Enam orang terbunuh dan 13 lagi cedera,” katanya.

Laporan keselamatan itu turut mencadangkan serangan berkenaan mungkin sebagai tindak balas terhadap pembunuhan seorang pemimpin kumpulan penggembala Miyetti Allah di Benue, Risku Muhammad, bersama seorang lagi individu pada 26 Jun lalu di daerah Otukpo.

Negeri Benue terletak di wilayah Middle Belt Nigeria yang sering menyaksikan pertembungan antara petani dan penternak nomad berhubung penggunaan tanah serta sumber semula jadi, selain kegiatan penculikan untuk wang tebusan oleh kumpulan bersenjata dikenali sebagai “bandit”.

Konflik itu turut mempunyai dimensi etnik dan agama, apabila kebanyakan penternak terdiri daripada etnik Fulani beragama Islam manakala ramai petani pula beragama Kristian. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.