
DAMSYIK, 2 Julai – Presiden Syria, Ahmed al-Sharaa pada Rabu memuktamadkan pembentukan parlimen pertama negara itu selepas kejatuhan Bashar al-Assad, dengan sidang sulung dijadual berlangsung minggu depan dalam langkah yang dilihat sebagai ujian penting proses peralihan politik.
- Jawatankuasa tempatan memilih dua pertiga daripada 210 ahli parlimen; baki satu pertiga dilantik oleh presiden.
- Parlimen diberi mandat dua setengah tahun boleh diperbaharui dan akan membentuk jawatankuasa untuk merangka perlembagaan baru.
- Utusan PBB anggap pencapaian penting tetapi menyeru perwakilan lebih baik; kumpulan hak asasi kritis pemusatan kuasa dan kekurangan wakil minoriti.
Selepas menggulingkan pemerintahan Assad pada Disember 2024 susulan lebih 13 tahun perang saudara, pihak berkuasa baharu membubarkan badan perundangan lama dan memperkenalkan perlembagaan sementara bagi tempoh peralihan selama lima tahun.
Dalam proses yang bermula sejak Oktober lalu dan dikritik sebagai tidak demokratik, jawatankuasa tempatan yang dilantik suruhanjaya pilihan raya memilih dua pertiga daripada 210 ahli parlimen, manakala baki satu pertiga dilantik oleh presiden.
Ketua jawatankuasa pilihan raya, Mohammad Taha al-Ahmad berkata 70 ahli yang dilantik melalui dekri presiden merangkumi keluarga mangsa perang, bekas tahanan serta mangsa serangan kimia, selain golongan akademik dan tokoh masyarakat.
“Tujuannya adalah untuk mewakili pelbagai segmen masyarakat Syria dan mencerminkan perpaduan negara,” katanya, sambil memaklumkan parlimen itu akan membentuk jawatankuasa bagi merangka perlembagaan baharu.
Beliau berkata badan itu mempunyai mandat selama dua setengah tahun yang boleh diperbaharui.
Utusan khas timbalan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) ke Syria, Claudio Cordone menyifatkan sidang pertama itu sebagai “pencapaian penting” dalam peralihan politik negara berkenaan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan keperluan meningkatkan perwakilan, termasuk wanita yang kini hanya sedikit melebihi 10 peratus, serta memastikan semua institusi mencerminkan kepelbagaian masyarakat Syria.
Sebelum ini, kumpulan hak asasi mengkritik proses pemilihan yang didakwa memusatkan kuasa kepada presiden dan tidak mewakili minoriti etnik serta agama.
Antara individu dilantik termasuk pelakon Rozina Lazkani, aktivis Aisha al-Dibs, bekas pemimpin Ahrar al-Sham Hassan Soufan serta tokoh pembangkang dalam buangan Anas al-Abdah.
Proses pemilihan turut berdepan cabaran di beberapa kawasan termasuk wilayah majoriti Druze di Sweida yang masih belum menamakan wakil susulan keganasan sektarian tahun lalu.
Sementara itu, Penganalisis politik Maher Tamran berkata pembentukan parlimen itu menandakan Syria mula beralih daripada fasa pengurusan krisis kepada pembinaan semula institusi.
Namun, beliau menegaskan ia merupakan “permulaan ujian sebenar” terhadap keupayaan parlimen untuk memastikan akauntabiliti kerajaan, menggubal undang-undang serta mencerminkan kepelbagaian rakyat Syria. – AFP