
CYBERJAYA, 1 Julai – Kerajaan terus memperkukuh kesedaran keselamatan siber dalam kalangan generasi muda menerusi pelaksanaan Program My Cyber Hero 2026.
- Keselamatan siber melibatkan amanah, integriti dan tanggungjawab, bukan sekadar aspek teknologi.
- Program meningkatkan literasi keselamatan siber dan membangunkan bakat digital dari peringkat akar umbi.
- Pertandingan melibatkan finalis kebangsaan dengan hadiah tunai dan menonjolkan sekolah serta negeri berprestasi tinggi.
Menurut Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Raja Nushirwan Zainal Abidin, program berkenaan merupakan pelaburan strategik negara dalam membentuk generasi celik siber yang berintegriti dan bertanggungjawab.
“Keselamatan siber bukan sekadar aspek teknologi, tetapi melibatkan amanah, integriti dan tanggungjawab dalam melindungi masyarakat,” katanya.
Lebih 21,000 pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh negara terlibat dalam program tersebut.
Ia bertujuan meningkatkan tahap literasi keselamatan siber serta membangunkan bakat digital dari peringkat akar umbi, sejajar dengan keperluan semasa dalam menghadapi ancaman siber yang semakin kompleks.
Sebanyak 32 pasukan terbaik berjaya mara ke peringkat akhir bagi merebut hadiah keseluruhan bernilai RM50,000.
Dua kategori dipertandingkan iaitu Rookie Cyber Hero bagi pelajar berumur tujuh hingga 12 tahun, manakala Star Cyber Hero untuk pelajar berumur 13 hingga 17 tahun.
Program anjuran Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dengan kerjasama Micro Concept Tech Sdn Bhd (MCT) itu disempurnakan oleh beliau dalam majlis penutup dan penyampaian hadiah.
Beliau turut menzahirkan kebanggaan terhadap pencapaian para finalis yang mencerminkan potensi serta keupayaan tinggi generasi muda dalam bidang digital di seluruh negara.
Dalam pada itu, beliau menyeru semua pihak agar bersama-sama melahirkan generasi yang bukan sahaja mahir teknologi, malah mampu menjadi benteng pertahanan siber negara.
Bagi keputusan pertandingan, Sekolah Kebangsaan Ibrahim, Kedah muncul juara kategori Rookie Cyber Hero, manakala Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ismail, Johor menjuarai kategori Star Cyber Hero.
Sarawak dan Selangor pula dinobatkan sebagai negeri dengan pencapaian purata keseluruhan terbaik.