Dapur Siswa MADANI UMT agih 1,000 makanan percuma

Foto FB Timbalan Naib Canselor – HEPA UMT

KUALA NERUS, 1 Julai – Usaha mengurangkan kos sara hidup mahasiswa terus dipergiat menerusi inisiatif Dapur Siswa MADANI Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang mengagihkan 1,000 pek makanan percuma kepada pelajar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program Bekwoh dijalankan secara gotong-royong oleh mahasiswa, termasuk penyediaan makanan dan pengurusan operasi.
  • UMT menawarkan Menu Kasih Siswa dengan makanan serendah RM3.50 untuk meringankan kos, terutamanya semasa musim peperiksaan.
  • Sukarelawan diwajibkan menjalani saringan kesihatan mengikut garis panduan KKM untuk menjamin kebersihan dan keselamatan makanan.

Program Bekwoh Dapur Siswa MADANI @UMT menghimpunkan warga universiti dan mahasiswa dalam penyediaan makanan secara gotong-royong.

Sekali gus menjadi perintis kepada pengoperasian kemudahan tersebut dalam memperkukuh agenda kebajikan mahasiswa.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMT, Profesor Dr. Mohd Izani Mohd Zain berkata, ini bukan sahaja membantu meringankan beban kewangan pelajar, malah membina ekosistem kebajikan berteraskan nilai ihsan, kesukarelawanan dan kebersamaan dalam kalangan warga kampus.

“Program ini digerakkan sepenuhnya oleh mahasiswa sendiri, termasuk dalam aspek penyediaan makanan dan pengurusan operasi,” katanya.

Dalam pada itu, UMT turut menyediakan inisiatif Menu Kasih Siswa dengan harga serendah RM3.50 bagi membantu pelajar mendapatkan makanan pada kos lebih rendah, khususnya ketika musim peperiksaan.

Pelajar UMT, Dhurgga S. Mahenthiran berkata, inisiatif berkenaan membantu mengurangkan perbelanjaan harian.

““Saya gembira kerana sebelum ini, kos untuk makan tiga kali sehari boleh mencecah lebih RM20. Tambahan pula ketika musim peperiksaan, agak sukar untuk keluar membeli makanan,”katanya.

Seorang lagi pelajar, Ivy Lai berharap program seumpama itu dapat dilaksanakan secara berkala.

“Ada dalam kalangan rakan saya yang hanya makan sekali sehari, jadi bantuan makanan seperti ini sekurang-kurangnya dapat menampung keperluan mereka untuk sehari. Saya berharap program seperti ini dapat dilaksanakan secara berkala, mungkin sebulan sekali atau dua kali,” katanya.

Bagi memastikan aspek kebersihan dan keselamatan makanan terjamin, setiap sukarelawan yang terlibat diwajibkan menjalani saringan kesihatan mengikut garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.