
KUALA LUMPUR, 1 Julai – Pelan Induk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) bakal dilancar secara bersama oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong dalam tempoh terdekat.
- Pelan induk JS-SEZ telah mendapat kelulusan Jemaah Menteri dan dimuktamadkan sebagai dokumen operasi.
- Agensi berkaitan telah mula melaksanakan langkah dalam pelan induk, dengan jawatankuasa fokus menarik serta merealisasikan pelaburan.
- Kerajaan utamakan pelaksanaan berkesan; 57 peratus pelaburan diluluskan direalisasikan dan sasaran 20,000 pekerjaan berkemahiran mungkin dicapai lebih awal.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir memaklumkan pelan induk itu ketika ini telah menerima kelulusan Jemaah Menteri dan dimuktamadkan sebagai dokumen operasi.
“Jadi, untuk pelan induk yang kita telah war-warkan sebelum ini, sebenarnya telah siap dari segi dokumen dan juga perkara-perkara berkaitan selain telah mendapat persetujuan Jemaah Menteri.
“Pada masa yang sama, Jemaah Menteri berpandangan, walaupun dokumen itu bersifat operasi, tetapi masih ada ruang untuk ditonjolkan di peringkat yang lebih besar untuk melibatkan kedua-dua pimpinan tertinggi negara.
“Maka sebab itu, kabinet memutuskan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar bersama dengan Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong meluncurkan dokumen berkenaan, tetapi pada masa yang sama, sudah pasti kita juga memberi laluan dengan pilihan raya negeri,” katanya semasa Forum Eksekutif JS-SEZ 2026.
Forum menghimpunkan lebih 250 penggubal dasar, pemimpin perniagaan, pelabur dan pihak berkepentingan industri bagi meneroka Koridor Ekonomi Malaysia-Singapura sebagai pintu masuk strategik kepada syarikat-syarikat Eropah yang ingin mengembangkan operasi mereka ke rantau ASEAN.
Forum dianjurkan oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA) dalam peranannya sebagai agensi pemudah cara utama bagi JS-SEZ.
Beliau turut memaklumkan agensi-agensi berkaitan telah mula melaksanakan langkah-langkah yang digariskan dalam pelan induk itu, dengan jawatankuasa yang ditubuhkan kini memberi tumpuan kepada usaha menarik pelaburan dan merealisasikan pelaburan tersebut.
Keutamaan kerajaan pada tahun ini adalah memastikan pelaksanaan dan penyampaian yang berkesan.
“Sebanyak 57 peratus daripada pelaburan diluluskan bernilai RM76.98 bilion yang direkodkan di bawah JS-SEZ tahun lepas, telah direalisasikan,”katanya.
Akmal Nasrullah turut menyuarakan keyakinan, sasaran mewujudkan 20,000 pekerjaan berkemahiran dalam tempoh lima tahun di zon berkenaan akan dapat dicapai lebih awal daripada yang disasarkan.