Lebih 59,000 bekas pelajar tajaan JPA layak mohon Opsyen PBU Akademik Fasa 2

Logo Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)

PUTRAJAYA, 1 Julai – Lebih 59,000 bekas pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) layak memohon Opsyen Pinjaman Boleh Ubah Berasaskan Merit Akademik (PBU Akademik) Fasa Kedua mulai 1 Julai hingga 31 Ogos ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Syarat kelayakan termasuk menamatkan pengajian pada atau sebelum 31 Disember 2024, tiada tunggakan bayaran balik, dan masih dalam tempoh ikatan kontrak.
  • Pemohon mesti kemas kini maklumat di MySELF, tandatangan perjanjian melalui ePROMISE, dan bayar duti setem menerusi MyTAX dalam 30 hari.
  • PBU Akademik menetapkan kadar bayaran balik berdasarkan pencapaian akademik; semakan dan maklumat lanjut melalui Portal Penajaan JPA, e-mel atau Pusat Panggilan MyGCC.

JPA dalam kenyataan memaklumkan, kemudahan itu terbuka kepada bekas pelajar yang menamatkan pengajian pada atau sebelum 31 Disember 2024.

“Antara syarat lain termasuklah pemohon tidak mempunyai tunggakan bayaran balik pinjaman atau Elaun Terlebih Bayar serta masih dalam tempoh ikatan kontrak berkhidmat dengan kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan atau syarikat swasta,” menurut kenyataan itu.

Opsyen itu tidak ditawarkan kepada mereka yang ditamatkan penajaan kerana melanggar perjanjian, sudah menyelesaikan bayaran balik atau ikatan kontrak, serta gagal melengkapkan penajaan berpakej sehingga peringkat ijazah pertama.

Pemohon perlu mengemas kini maklumat menerusi portal Paparan Aktiviti Dalam Talian Pelajar Malaysia (MySELF) sebelum membuat permohonan, manakala dokumen perjanjian perlu ditandatangani melalui sistem ePROMISE.

Selanjutnya, bayaran duti setem menerusi sistem MyTAX LHDNM dalam tempoh 30 hari selepas dokumen perjanjian ditandatangani.

Semakan kelayakan dan maklumat lanjut boleh diperoleh menerusi Portal Penajaan JPA, e-mel pbuakademik@jpa.gov.my atau Pusat Panggilan MyGCC di talian 03-8000 8000.

Kenyataan sama turut memaklumkan, PBU Akademik yang diperkenalkan pada 1 Jun 2025 menentukan kadar bayaran balik pinjaman berdasarkan pencapaian akademik pelajar.

“Sehingga kini, lebih 11,000 pelajar baharu menerima penajaan menerusi model berkenaan, manakala lebih 23,000 pelajar di bawah PBU 2016 menyertai opsyen fasa pertama yang dilaksanakan dari Januari hingga Mac lalu,” jelas kenyataan itu lagi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.