
BANGI, 30 Jun – Kerajaan menggandakan peruntukan Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS 2.0) kepada RM100 juta tahun ini bagi memperkukuh produktiviti industri sawit dan membantu pekebun kecil meningkatkan hasil pengeluaran.
- Pembangunan sawit mesti berpandukan Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030, fokus kepada produktiviti melalui teknologi, R&D, mekanisasi dan amalan pertanian cekap.
- Pertumbuhan industri perlu dipacu melalui peningkatan produktiviti dan bukan melalui perluasan kawasan tanaman sawit.
- Kerajaan menggesa pengusaha dan pekebun kecil manfaatkan kemudahan pembiayaan tanam semula serta guna bahan tanaman berprestasi tinggi.
- Program TOT MPOB 2026 mempercepat pemindahan teknologi; perkenal sembilan teknologi baharu termasuk AI penggredan buah dan baja pelepasan terkawal.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, peruntukan itu meningkat dua kali ganda berbanding RM50 juta yang disediakan pada tahun lalu, sekali gus membuktikan komitmen kerajaan memastikan pekebun kecil tidak tercicir dalam agenda pemodenan dan peningkatan produktiviti sektor sawit.
“Pada 2026, kerajaan memperuntukkan RM100 juta bagi Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS 2.0), meningkat berbanding RM50 juta pada 2025,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Pemindahan Teknologi Sawit (TOT) MPOB 2026 di Ibu Pejabat Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), di sini,hari ini.
Datuk Seri Noraini berkata, pembangunan industri sawit negara perlu terus berpandukan Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 dengan memberi tumpuan kepada peningkatan produktiviti menerusi penggunaan teknologi, penyelidikan dan pembangunan (R&D), mekanisasi serta amalan pertanian yang lebih cekap.
Menurutnya, Malaysia tidak lagi boleh bergantung kepada pembukaan kawasan tanaman baharu memandangkan keluasan tanaman sawit negara telah dihadkan.
“Malaysia telah menetapkan had keluasan tanaman sawit. Justeru, pertumbuhan industri perlu dipacu melalui peningkatan produktiviti dan bukannya perluasan kawasan penanaman,” katanya.
Beliau turut menggesa pengusaha ladang dan pekebun kecil memanfaatkan kemudahan pembiayaan tanam semula serta menggunakan bahan tanaman berprestasi tinggi bagi meningkatkan hasil dan memperkukuh daya saing industri sawit negara.
Program Pemindahan Teknologi Sawit (TOT) MPOB 2026 merupakan platform tahunan anjuran MPOB bagi mempercepat pemindahan hasil penyelidikan kepada industri menerusi pengkomersialan teknologi dan penciptaan nilai tambah dalam sektor sawit.
Pada edisi kali ini, sebanyak sembilan teknologi baharu diperkenalkan, antaranya sistem kecerdasan buatan (AI) untuk penggredan buah sawit, baja pelepasan terkawal, produk makanan dan kesihatan berasaskan sawit, bendalir penyejuk pusat data.
Selain minyak pemprosesan getah, minyak asas pelincir, teknologi penghasilan bahan kimia hijau serta teknologi perlindungan tanaman yang mampu meningkatkan produktiviti dan daya saing industri sawit negara.