
KUALA LUMPUR, 30 Jun– Hampir 4,000 peluang pekerjaan baharu diwujudkan hasil pelaksanaan program pemerkasaan usahawan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sepanjang tempoh 2023 hingga 2025.
- Hasil jualan syarikat peserta meningkat sekurang-kurangnya 20 peratus berbanding sebelum menyertai program.
- 150 syarikat berjaya meningkatkan skala perniagaan melalui program KUSKOP.
- KUSKOP menjadikan pensijilan halal fokus utama, membantu usahawan Bumiputera dan bukan Bumiputera dari segi kos dan proses.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim berkata, pencapaian itu merupakan antara petunjuk keberkesanan program yang dilaksanakan menerusi agensi bawah kementerian.
“Antara pencapaian utama ialah pewujudan hampir 4,000 peluang pekerjaan baharu oleh syarikat peserta.
Hasil jualan mereka juga meningkat sekurang-kurangnya 20 peratus berbanding sebelum menyertai program, selain 150 syarikat berjaya meningkatkan skala perniagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Sekijang, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut beliau, KUSKOP membelanjakan hampir RM3 bilion bagi melaksanakan pelbagai program pemerkasaan usahawan Bumiputera sejak 2023 hingga 2025.
Dalam perkembangan sama, Steven Sim berkata, KUSKOP turut menjadikan pensijilan halal sebagai antara fokus utama bagi meningkatkan daya saing usahawan.
Menurut beliau, usahawan, Bumiputera dan bukan Bumiputera dibantu mendapatkan pensijilan halal melalui sokongan dari segi kos serta proses yang lebih mudah, cepat dan berkesan.